Saturday, July 9, 2011

Kaedah Fiqh : Kesukaran Diiringi Kemudahan


KAEDAH 3 : KESUKARAN DIIRINGI KEMUDAHAN

1. Huraian Kaedah

a. Subhi Mahmassani : Kesukaran boleh menjadi sebab diberikan kemudahan dan wasilah kepada keringanan, dan lazimnya diberi kelonggaran pada ketika berhadapan dengan keadaan yang menyulitkan.

b. Apabila terdapat sesuatu kesulitan dalam melaksanakan perintah Allah, perintah itu diringankan, tidak seperti asalnya.

c. Terbentuk hukum rukhsah atau keringanan dalam syariat Islam.

d. Ini agar syariat Islam dapat dilaksanakan oleh mukallaf bila dan di mana sahaja dengan memberi kelonggaran dan keringanan di saat dan ketika seseorang terjebak dengan kesempitan dan kesukaran.

e. Hadis Anas : `Apabila Rasulullah SAW bermusafir pada jarak 3 batu atau farsakh, Baginda bersembahyang 2 rakaat’


2. Sumber Asal Kaedah


a. `Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran’ (Baqarah : 185)

b. `Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan’ (Al-Maidah : 6)

c. `...dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama’ (Al-Hajj : 78)

d. Hadis Anas bin Malik : `Permudahkanlah dan janganlah menyukarkan’

e. Hadis Abu Hurairah : `Sesungguhnya agama (Islam) ini mudah’


3. Peringkat Masyaqqah

a. Masyaqqah yang sangat berat


Masyaqqah yang ditakuti mengancam nyawa, anggota badan atau manfaatnya. Masyaqqah ini wajib diberi keringanan dan kelonggaran kepada manusia kerana memelihara nyawa dan anggota badan bagi membangunkan kepentingan dunia dan akhirat lebih utama daripada mendedahkannya kepada kerosakan atau kemudaratan disebabkan ibadat. Contoh, tidak ada jalan lain mengerjakan haji melainkan melalui jalan laut sahaja, sedangkan kebiasaannya tidak selamat untuk sampai ke Mekah, maka dalam keadaan ini tidak wajib haji

b. Masyaqqah yang sangat ringan


Misalnya, sedikit kesakitan di jari tangan atau kaki, sedikit pening atau berasak-asakan (dalam haji atau jihad fizikal). Maka sakit2 kecil seperti ini tidak akan mempengaruhi hukum dan tidak perlu diambil kisah kerana menghasilkan kepentingan2 ibadat itu lebih aula dari menolak masyaqqah seperti ini yang kebiasaannya orang tidak ambil peduli. Apatah lagi kepentingan ibadat dan kemuliaannya hendaklah diutamakan, di samping kecilnya masyaqqah ini.

c. Masyaqqah yang sederhana


Jika masyaqqah ini hampir kepada masyaqqah yang pertama, maka mesti diberikan keringanan. Manakala jika ia hampir kepada masyaqqah yang kedua, tidaklah diberi keringanan. Kesemua ini bergantung kepada zan atau perhitungan seseorang mukallaf itu.


4. Rukhsah dalam Ibadat


a. Rukhsah yang disyariatkan dalam Islam merupakan suatu bukti yang jelas bahawa Islam berpegang kepada samahah (berbaik hati) dan yusr (mudah) dalam menuntut perlaksanaan hukum Syarak.

b. Rukhsah dalam Bahasa Arab bermaksud `memudah dan menyenangkan’. Menurut Ulama Fiqh diertikan sebagai `hukum2 yang disyariatkan oleh Allah berdasarkan kepada keuzuran-keuzuran manusia demi menjaga kepentingan dan hajat mereka, di samping kekal sebab yang mewajibkan hukum asal’


5. Pembahagian Rukhsah


Ulama Syafi’iyyah membahagikan Rukhsah kepada 5 bahagian :


a. Rukhsah Wajibah (diwajibkan) seperti memakan bangkai bagi mereka yang terdesak, berbuka puasa bagi yang takut mudarat (binasa) kerana kebuluran atau kehausan walaupun ia bermukim dan sihat badan. Mengamalkan Rukhsah ini wajib kerana uzur iaitu memelihara nyawa.
`Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan’ (Baqarah :195)

b. Rukhsah Mandubah (disunatkan) seperti qasar solat bagi seorang yang bermusafir 2 marhalah atau lebih.
HR Umar al Khattab, sabda Rasulullah saw : `Ini (solat qasar) suatu sedekah yang Allah sedekahkan kepada kamu. Maka terimalah sedekah-Nya itu’.

Keharusan berbuka puasa bagi mereka yang masyaqqah ke atasnya berpuasa dalam perjalanan atau ketika sakit, melewatkan solat zohor ke waktu tidak panas membakar dan keharusan memandang wanita ketika hendak meminangnya.

c. Rukhsah Mubahah (diharuskan) seperti aqad salam, bay’ al-araya, al-ijarah dan beberapa akad muamalat yang seumpamanya. Semuanya rukhsah tanpa khilaf, kerana salam dan ijarah adalah 2 jenis akad ke atas sesuatu yang majhul (tidak wujud). Bay’ al-araya ialah menjual rutab (buah kurma mengkal) dengan tamar (kurma yang masak). Keharusan muamalat ini kerana ia diperlukan.

d. Khilaf al-Aula (menyalahi keutamaan), seperti seorang bermusafir berbuka puasa yang tiada kemudaratan kalau ia meneruskan puasanya
`Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah)’ (Baqarah : 184)

e. Rukhsah yang makruh dilakukan, seperti solat qasar dalam suatu perjalanan yang kurang dari 2 marhalah


6. Sebab-Sebab Rukhsah


a. Musafir yang diharuskan.

• qasar sembahyang
• menyapu khuf lebih dari sehari semalam
• berbuka puasa
•  sembahyang jamak

b. Sakit.
• Tayammum ketika sukar menggunakan air atau menggunakan air boleh memudaratkan
• Solat fardhu sambil duduk atau berbaring atau terlentang atau isyarat atau dengan hati berdasarkan kemampuan
• Diharuskan doktor lelaki melihat aurat wanita dengan tujuan rawatan
• Diharuskan meninggalkan solat Jumaat
• Diharuskan meninggalkan puasa dan menggantikan apabila sembuh atau meninggalkan sepenuhnya bagi mereka yang tua dan uzur serta membayar fidyah
• Tidak makruh minta tolong orang menjiruskan air ke atasnya ketika mandi atau membasuh anggota wuduk
• Mewakilkan menunaikan haji dan melontar jamrah

c. Paksaan (terpaksa atau dipaksa)

• Mengancam nyawa dan harta bendanya
• Kelaparan yang mengancam nyawa diharuskan makan benda haram
• Dipaksa mensyirikkan Allah tetapi hatinya masih tetap beriman
`Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman’ (An-Nahl : 106)

d. Terlupa

• Tidak batal puasa mereka yang makan dalam keadaan terlupa
Hadis : `Sesiapa yang terlupa sedang ia berpuasa, di mana ia makan atau minum, hendaklah ia menyempurnakan puasanya itu’
• Tidak berdosa mereka yang terlupa solat sehingga keluar waktunya
• Terlupa menunaikan zakat, haji, kaffarat
`Tidak dikira bersalah 3 golongan : Orang yang tidur sehingga ia terjaga, kanak2 sehingga ia bermimpi dan orang gila hingga ia berakal’

e. Kejahilan

• Seseorang yang bercakap ketika sembahyang kerana ia bodoh, sembahyangnya tidak batal
• Hukum2 yang tidak diketahui melainkan oleh ulama sahaja adalah dimaafkan bagi orang awam
• Hukum2 yang umum diketahui oleh orang awam dengan mudah atau yang sepatutnya diketahui oleh setiap orang Islam, kejahilan tidak dimaafkan, seperti riba.

f. Kesulitan serta umum al-balwa (kesukaran umum yang tidak dapat dihindarkan)

• Dimaafkan sembahyang orang yang berpenyakit sentiasa keluar air kecil atau istihadah
• Harus beristinjak dengan batu
• Segala najis yang sukar dihilangkan adalah dimaafkan seperti tahi burung merpati yang tinggal dalam masjid
• Sembahyang dengan najis yang dimaafkan seperti nanah bisul dan penyakit cacar
• Najis yang tidak dilihat oleh penglihatan mata seperti belalang
• Menyentuh mashaf al-Quran bagi kanak2 sedang belajar dengan berhadas
• Membuang air besar atau air kecil dengan mengadap atau membelakangi kiblat dalam tandas
• Harus menyapu khuf ketika bermukim kerana sukar mencabutnya pada setiap kali berwuduk tetapi wajib dicabut ketika mandi wajib kerana tidak kerap seperti wuduk
• Harus memakai sutera bagi lelaki kerana berpenyakit atau sebab sakit serta untuk tujuan peperangan
• Harus bertahallul daripada haji apabila dikepung musuh
• Disyariatkan khiyar selama 3 hari

g. Kekurangan

• Kanak2 dan orang gila tidak dibebankan dengan taklif
• Kaum wanita tidak diwajibkan solat Jumaat atas dasar kekurangan sifat2 tertentu dan mereka tidak diwajibkan berperang dan tidak dikenakan jizyah
• Wanita diberi kemudahan memakai barang kemas dan sutera
• Taklif syarak atau tanggungjawab terhadap kaum wanita lebih ringan berbanding kaum lelaki
• Bebanan dan tanggungjawab lebih ringan dikenakan terhadap hamba berbanding orang merdeka


7. Keringanan Syarak


a. Digugurkan

• Digugurkan tuntutan solat Jumaat, puasa, haji, jihad dengan sebab keuzuran
• Digugurkan kewajipan berpuasa kepada orang tua dan haji kepada orang yang lemah
• Digugurkan menyertai jihad sebab uzur

b. Dikurangkan

• Qasar (dipendekkan) solat 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika musafir

c. Digantikan

• Digantikan wuduk dan mandi dengan tayammum
• Solat berdiri dengan duduk atau berbaring atau isyarat
• Digantikan puasa dengan membayar fidyah bagi yang tidak berdaya

d. Didahulukan

• Solat jamak taqdim
• Mendahulukan keluar zakat sebelum tiba haul
• Zakat fitrah sebelum raya
• Kaffarat sumpah sebelum melanggar sumpah

e. Diakhirkan

• Solat jamak ta’khir
• Menangguhkan puasa ramadhan kerana musafir atau sakit
• Menangguhkan solat demi menyelamatkan orang lemas atau kebakaran

f. Dimaafkan

• Solat orang beristinjak dengan batu atau seumpamanya sedangkan najis masih ada
• Minum arak kerana terlalu dahaga dan ketiadaan air
• Diharuskan makan benda najis atau makanan haram kerana terdesak

g. Diubahkan atau perubahan

• Menukar dan mengubah kedudukan serta cara mendirikan solat ketika dalam ketakutan dan menghadapi musuh


8. Kaedah Pecahan


a. `Apabila sesuatu itu sempit, hukumnya menjadi luas’


• Imam Syafie, 3 kaedah :


- apabila seseorang wanita kehilangan walinya ketika dalam musafir, lalu ia menyerahkan wali untuk urusan musafirnya itu kepada seseorang lelaki. Harus hukumnya.

- berkaitan dengan bekas yang diperbuat daripada tanah liat yang mana bahan bakarannya adalah daripada benda2 najis. Apakah harus berwuduk dengan bekas itu?

- lalat yang hinggap di atas najis, lalu hinggap pada pakaian seseorang. Sekiranya ketika ia terbang sebelum hinggap pada pakaian itu kakinya menjadi kering, ia jelas tidak menyebabkan pakaian itu menjadi najis. Namun jika sebaliknya,beliau menyatakan kaedah itu.

• Sudah memadai dengan saksi wanita dan diterima saksi wanita dalam perkara yang lelaki tidak mengetahuinya dan tidak melihatnya, seperti cacat pada anggota.

• Tidak perlu kepada keyakinan dan cukup dengan zann atau berat sangka sahaja dalam masalah arah kiblat, suci tempat dan lainnya.

• Imam al-Zarkasyi menjelaskan, seseorang itu harus menggunakan bekas yang diperbuat daripada emas dan perak untuk berwuduk, kiranya tidak ada bekas lain.


b. `Apabila sesuatu itu longgar atau luas, hukum menjadi sempit’


• Melakukan gerakan yang sedikit ketika sedang mendirikan solat diharuskan. Namun begitu, tidak boleh melakukan gerakan yang besar dan berulang-ulang seandainya tiada desakan atau keperluan berbuat begitu.

• Seseorang yang dalam keadaan lapang, seharusnya melakukan solat di awal-awal waktu serta dengan menepati segala rukun dan syaratnya yang sempurna.

c. `Kemudaratan-kemudaratan itu membolehkan tegahan-tegahan’


• Harus makan benda haram dalam keadaan sangat lapar untuk menyelamat jiwa daripada mati kebuluran.
• Doktor harus melihat aurat lelaki dan wanita untuk tujuan rawatan
• Harus melawan dan mengambil tindakan terhadap perompak, walaupun terpaksa membunuhnya
• Harus mengambil harta benda orang yang berhutang yang enggan membayar hutangnya

d. `Keadaan darurat ditentukan menurut kadarnya’


• Memakan bangkai hanyalah harus untuk menyelamatkan diri daripada kelaparan dan mati kebuluran. Apabila bertenaga semula, batas diharuskan itu berakhir.

• Doktor diharuskan melihat aurat pesakit lelaki dan wanita untuk merawat, namun pada anggota atau bahagian sakit sahaja, tidak lebih daripada itu.

• Kiranya wanita sakit tidak harus ia dirawat oleh doktor lelaki kiranya masih ada doktor wanita.

e. `Apa yang diharuskan kerana uzur, batal dengan sebab hilang uzur tersebut’


• Tayammum menjadi batal dengan sebab didapati ada air sebelum mendirikan solat
• Sekiranya seseorang saksi ada keuzuran syarak untuk datang dan memberi kesaksian di hadapan hakim di mahkamah, seperti sakit. Harus ia memberi kesaksian di rumah. Namun setelah keuzuran hilang, iaitu sembuh dari sakit, wajib ia hadir untuk memberi kesaksian di mahkamah

f. `Keperluan atau hajat diletakkan pada kedudukan darurat, sama ada umum atau khusus’


• Diharuskan melihat bakal isteri untuk tujuan perkahwinan
• Seseorang lelaki diharuskan memakai pakaian sutera disebabkan penyakit kulit dan lainnya, namun dalam keadaan biasa diharamkan

g. `Keadaan terdesak tidak membatalkan hak orang lain’

• Sekiranya tempoh sewa atau upah menyusu bayi daripada ibu susu telah tamat, sedangkan bayi tersebut telah dapat menyesuaikan diri dengan susunya. Selain itu, bayi tersebut masih belum dapat makan atau menerima makanan lain. Ibu susu itu boleh dipaksa supaya terus menyusui bayi tersebut, demi menjaga kepentingan bayi. Ibu susu hendaklah dibayar upah dengan kadar yang setimpal.

• Sekiranya tempoh sewaan tanah pertanian telah tamat, namun tanamannya masih belum dapat dituai disebabkan belum masak. Sewaan dikira berterusan sampai ia dapat dituai, dengan kadar tambahan sewaan sepatutnya. Hal itu kerana desakan dan tekanan penyewa untuk mengekalkan tanamannya hingga masak dan dapat dituai tetap tidak membatalkan hakmilik tuan tanah.

h. `Hukum itu mengikut kemaslahatan yang kukuh’


• Haramnya minum arak dan berjudi
• Keizinan berjihad dan memerangi musuh. Zahirnya menyebabkan kematian dan kerosakan, namun natijahnya adalah amat baik dan jelas. Iaitu mempertahankan diri, agama dan menyebarkan agama Islam

i. `Hukum itu berkisar bersama illahnya atau sebabnya’


• Diharamkan arak disebabkan illahnya yang memabukkan. Apabila illahnya hilang atau tidak ada lagi, waktu itu ia tidak diharamkan, contoh, arak bertukar menjadi cuka.

• Sesuatu itu apabila ia mengandungi racun, apabila ia merosakkan diharamkan, namun apabila tidak merosakkan bahkan dapat dijadikan ubat, diharuskan.

• Jus anggur atau nira apabila bertukar menjadi arak hilang kesuciannya.

j. `Kedudukan perkara yang tidak diketahui itu sama dengan kedudukan apa yang tidak ada’


• Seseorang yang menemui barang tercicir, apabila pemiliknya datang dan mendakwa, ia hendaklah menyerahkannya. Seandainya tidak ada pemilik, ia adalah daripada harta Allah yang dikurniakan kepada orang yang Ia kehendaki.

Sumber: halaqah.net 

No comments:

Post a Comment