Friday, May 20, 2011

KEDUDUKAN MAZHAB SYAFIE DALAM PRODUK KEWANGAN ISLAM SEMASA

Oleh: Suhaimi Mohd Yusof dan Ahmad Hazim Alias

PENDAHULUAN

Urusan muamalat adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam dalam mengatur kehidupan umat. Asas-asas Syariah yang berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah menjadi sandaran utama dalam mentafsirkan kehendak dan keperluan manusia yang sering berubah-ubah dari semasa ke semasa. Dalam konteks meraikan kehendak dan amalan semasa berhubung dengan muamalat, Syariah sama sekali tidak menyempitkan keadaan dengan hanya merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Ijtihad para ulama diperlukan untuk memperincikan hukum sesuatu perkara yang digambarkan secara umum oleh kedua-dua sumber utama tersebut. Ruang lingkup ijtihad para ulama sudah pastinya berasaskan sumber utama dengan melihat realiti kehidupan yang lebih praktikal sejajar dengan kehendak Syariah.

Bagi menangani isu-isu semasa muamalat, ulama fikah mengambil kira secara serius perkara pokok dalam tradisi istinbat al-ahkam (kaedah perumusan hukum) seperti soal halal-haram, riba, gharar, maslahah, dan maqasid syar`iyyah. Namun begitu, dalam menjalankan tanggungjawab ini, ulama sentiasa mengambil pendekatan seimbang antara aspek teori dengan amalan dan antara pematuhan prinsip Syariah dengan `urf al-iqtisadiyyah (amalan kebiasaan aktiviti ekonomi). Dalam konteks ini, terdapat kaedah fikah yang bermaksud: "Tidak boleh dinafi atau diengkar perubahan sesuatu hukum kerana perubahan masa".

Mustafa al-Zarqa' menegaskan bahawa kaedah ini membawa mesej jelas betapa hukum akan berubah dengan perubahan budaya dan cara hidup manusia. Dalam bidang perniagaan, kaedah perniagaan juga akan terus berubah bersama-sama dengan kemajuan zaman dan tamaddun manusia itu sendiri. Kaedah fikah menyatakan "perkara yang menjadi amalan dalam kalangan peniaga merupakan pengikat antara mereka".

Ibnu al-Qayyim pula menyatakan bahawa kegagalan memberikan respon yang tepat terhadap perubahan ini akan menyebabkan berlakunya ketidakadilan. Sobhi Mahmassani menukilkan kata-kata Ibnu al-Qayyim yang berbunyi: " …interpretasi undang-undang sewajarnya berubah dengan perubahan masa, tempat, keadaan, dan adat…pengabaian fakta ini mengakibatkan ketidakadilan kepada Syariah dan menyebabkan banyak kesukaran dan kepayahan. Sungguhpun begitu, memang diketahui bahawa Syariah yang mulia lagi memelihara kepentingan tertinggi manusia tidak akan membenarkan natijah sedemikian."

PENDEKATAN DALAM MELAKSANAKAN KONSEP SYARIAH DALAM PRODUK KEWANGAN ISLAM  

Konsep Syariah yang dilaksanakan dalam produk industri perbankan kini semakin bertambah dan meluas setelah wujudnya persaingan antara pengamal pasaran peringkat tempatan dengan pengamal pasaran antarabangsa.

Jika sebelum ini banyak produk-produk perbankan Islam menggunakan konsep Syariah yang terhad seperti murabahah, BBA, Inah dan bai al-dayn, kini banyak konsep-konsep Syariah yang lain yang diguna pakai seperti ijarah, mudharabah, musyarakah, tawarruq dan sebagainya.

Perkembangan ini melihatkan bahawa pengamal perbankan Islam kini semakin bersedia dan memahami keperluan kepada mempertingkatkan kepelbagaian produk bagi memenuhi kehendak pelanggan yang memerlukan kepada produk-produk kewangan Islam yang patuh Syariah. Selain initiatif pengamal pasaran, para ulama Syariah juga mula menunjukkan kefahaman mereka terhadap struktur-struktur produk yang lebih kompleks dan pelbagai.

Kontrak yang diamalkan dalam kewangan Islam umumnya terbahagi kepada dua jenis kontrak iaitu kontrak yang bersifat "`uqud musamma" dan "uquq mustajiddah". Kontrak yang lahir daripada `uqud musamma lazimnya mudah dilaksanakan kerana segala syarat-syarat yang perlu ada pada kontrak tersebut telah dibahaskan oleh para ulama fikah terdahulu seperti jual beli, ijarah, salam dan sebagainya. Sementara kontrak yang bersifat mustajiddah, maka ia perlu kepada takyif fiqhi yang jelas dan ijtihad secara kolektif agar perlaksanaannya lebih menepati asas-asas Syarak. Lazimnya kontrak yang bersifat mustajiddah lebih banyak diamalkan dalam konteks kewangan semasa seperti murabahah li al-amir bi al-syira', ijarah muntahiyah bi tamlik, musyakah mutanaqisah, qard, mudharabah, wakalah bi istithmar dan sebagainya.

Dalam mempertimbangkan uqud mustajiddah beberapa perkara utama harus diambil kira sepertimana yang ditegaskan oleh Dr Nazih Hamad dan Dr Mohammad Ali al-Qari dalam kertas kerja mereka yang dibentangkan dalam mesyuarat Majmak al-fiqh al-islami.
Mereka menggariskan dhawabit tertentu yang perlu dipatuhi dalam pembentukan apa-apa konsep `uqud mustajiddah.
  1. Tujuan melaksanakan kontrak baru tersebut adalah bagi memenuhi keperluan yang masyru`ah yang diharuskan serta atas dasar maslahah muktabarah
  2. Ia hendaklah bebas daripada riba, gharar fahisy, ghisy, tadlis, daripada memakan harta secara batil, tidak memudharatkan salah satu pihak atau mengakibatkan kehilangan hak seseorang.
  3. Ia tidak bercanggah dengan nas atau ijmak yang sorih dan jelas
  4. Kontrak baru boleh terbina sama ada ia langsung tidak menyerupai mana-mana uqud musamma yang sedia ada dalam Syarak atau menyerupai uqud yang sedia ada dalam fiqh tetapi berbeza dari segi syarat. Dalam keadaan di mana syaratnya berbeza, maka pada ketika ini syarat tersebut perlu diteliti dari beberapa sudut:
  1. Jika ia menggugurkan syarat yang dinaskan maka hukumnya haram. Sebagai contohnya jual beli tertangguh dalam pasaran komoditi di pasaran-pasaran komoditi antrabangsa menyerupai jual beli salam, tetapi ia tidak mempunyai syarat penyerahan modal semasa majlis akad, sedangkan penyerahan modal semasa majlis adalah syarat yang dinaskan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"من أسلم فليسلم في شيء معلوم...."
  1. Jika ia menggugurkan syarat yang merupakan ijtihad para ulama maka hukumnya bergantung kepada:
    1. kewujudan `illah syarat tersebut. Contohnya syarat mudharib mesti seorang muslim diwujudkan kerana terdapat kesangsian bahawa seorang bukan muslim tidak memelihara soal riba dan perkara haram, tetapi dengan wujudnya aktiviti pengawasan kegiatan perniagaan, rekod dan perakaunan, kesangsian tersebut tidak lagi timbul. Oleh itu pengguguran syarat ini tidak menjejaskan kontrak.
    2. `uruf yang berkaitan. Contohnya garam pada masa silam dikategorikan sebagai al-makilat, tetapi pada masa kini ia dikategorikan sebagai al-mauzunat.
    3. Persekitaran ekonomi semasa. Contohnya logam-logam lain seperti besi dan tembaga yang dijadikan sebagai alat perantara pertukaran dikeluarkan dari hukum sarf dan jual beli salam dalam mata wang diharuskan ketika matawang yang digunapakai adalah dinar dan dirham.
  1. Jika syarat yang wujud dalam kontrak baru tidak diketahui dalam perbahasan fikah yang terdahulu, maka syarat tersebut harus selagi ia mengandungi kemaslahatan pihak-pihak berkontrak dan tidak membatalkan atau menafikan tujuan kontrak (مقتضى العقد (. Syarat tersebut dianggap fasid dan menjejaskan kontrak jika ia membawa kepada perkara haram dan menafikan tujuan kontrak.
PERKARA ASAS PEMATUHAN PRODUK KEWANGAN ISLAM


Amalan kewangan Islam melibatkan aktiviti-aktiviti kewangan yang dilakukan berdasarkan falsafah, prinsip dan konsep yang digariskan dalam Syariah. Amalan kewangan Islam semasa dibangunkan dengan meletakkan beberapa asas penting bagi memastikan kepatuhannya kepada hukum Syarak. Asas-asas utama tersebut ialah:
  • Bebas daripada amalan riba
  • Meminimakan gharar
  • Bebas daripada unsur judi (maysir)
Para ulama secara umumnya sepakat berhubung dengan pengharaman riba. Walau bagaimanapun, para ulama mempunyai pandangan yang berbeza dalam soal kategori atau jenis riba dan `illah pengharaman riba. Para ulama juga pada dasarnya sepakat berhubung dengan keperluan menghindari unsur gharar dalam aktiviti muamalat. Namun begitu, para ulama dalam membahaskan tentang gharar, memberikan definisi gharar yang berbagai. Penghapusan unsur perjudian dalam aktiviti muamalat Islam merupakan perkara yang disepakati oleh semua ulama kerana terdapat dalil yang jelas terhadap pengharamannya.

Riba: Pembahagian dan `Illah Pengharamannya

Riba boleh dibahagikan kepada riba nasiah dan riba jual beli (riba buyu`). Riba nasiah melibatkan penambahan nilai akibat penangguhan bayaran hutang sama ada hutang pinjaman atau hutang jual beli. Para ulama membahagikan riba jual beli kepada dua iaitu riba fadl dan riba nasa' (juga disebutkan sebagai nasiah). Riba nasa' atau nasiah dalam jual beli merujuk kepada penambahan yang berlaku akibat daripada menangguhkan bayaran. Riba fadl pula merujuk kepada tambahan dalam sukatan atau timbangan dalam pertukaran barangan ribawi sama jenis tanpa berlaku penangguhan serahan.

Ulama mazhab Syafie, membahagikan riba kepada tiga iaitu iaitu riba fadl,
riba nasiah dan riba yad. Menurut mazhab Syafie, riba dalam pinjaman (riba qard) dianggap termasuk dalam kelompok riba fadl. Riba yad pula merujuk kepada jual beli barangan ribawi yang sama jenis dengan penangguhan penyerahan. Riba yad juga berlaku dalam penangguhan serahan dalam jual beli barangan ribawi yang berlainan jenis. Ulama mazhab selain Syafie seperti mazhab Hanafi merangkumkan apa yang dirujuk sebagai riba yad (oleh mazhab Syafie) ke dalam kelompok riba nasiah.

Selain daripada pembahagian riba, para ulama juga membincangkan tentang `illah riba. Perbahasan ulama-ulama mazhab berhubung `illah riba dapat dirumuskan di dalam jadual berikut:

Mazhab  
Pandangan Tentang `Illah Riba
Mazhab Hanafi 
  • Berpendapat timbangan dan sukatan merupakan `illah riba tetapi menetapkan kadar timbangan atau sukatan tertentu yang dianggap riba.
Mazhab Maliki 
  • `Illah riba bagi barangan ribawi seperti emas dan perak ialah naqdiyyah (sifat atau fungsi sebagai wang).
  • Bagi barang ribawi daripada kategori makanan ulama mazhab Maliki membezakan `illahnya mengikut jenis sama ada riba nasiah atau riba fadl.
  • `Illah pengharaman riba nasiah ialah mat`umiyyah (fungsi atau sifat sesesuatu sebagai makanan.
  • Bagi riba fadl pula ulama mazhab Maliki mengatakan `illah pengharamannya ialah makanan ruji dan makanan yang boleh disimpan lama.
Mazhab Syafie
  • Membahagikan barangan ribawi kepada dua kategori iaitu naqd (wang) dan barang makanan.
  • Ulama mazhab Syafie berpandangan `illah riba ialah naqdiyyah dan mat`umiyyah.
Mazhab Hanbali
  • `Illah riba ( riba jual beli) ialah timbangan dan sukatan.

Gharar

Unsur gharar dalam muamalat Islam hendaklah dielakkan berdasarkan kepada beberapa hadis daripada Rasulullah s.a.w antaranya ialah:

وحدثنا أبو بكر بن أبي شيبة حدثنا عبد الله بن إدريس ويحيى بن سعيد وأبو أسامة عن عبيد الله وحدثني زهير بن حرب واللفظ له حدثنا يحيى بن سعيد عن عبيد الله حدثني أبو الزناد عن الأعرج عن أبي هريرة قال : نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الحصاة وعن بيع الغرر. رواه مسلم

Para ulama daripada mazhab yang berlainan telah memberikan definisi gharar yang berbagai. Jadual berikut menunjukkan beberapa definisi ulama terhadap gharar:

Mazhab Hanafi 
Al-Sarakhsi 
الغرر ما يكون مستور العاقبة
Al-Kasani 
الغرر هو الخطر الذي استوى فيه طرف الوجود والعدم بمنـزلة الشك
Ibn Abidin 
الغرر هو الشك في وجود المبيع
Mazhab Maliki 
Imam Malik 
والأمر عندنا أن المخاطرة والغرر اشتراء ما في بطون الإناث من النساء والدواب,لأنه لا يدري أيخرج أم لا يخرج فإن خرج لم يدر أيكون حسنا أم قبيحا أم تاما أم ناقصا أم ذكرا أم أنثى وذلك كله يتفاضل إن كان على كذا فقيمته كذا و'ن كان على كذا فقيمته كذا
Al-Qarafi 
أصل الغرر هو الذي لا يدري هل يحصل أم لا كالطير في الهواء والسمك في الماء
Al-Dusuki 
الغرر التردد بين أمرين أحدهما على الغرص والثاني على خلافه
Mazhab Syafie Al-Syiraziالغرر ما انطوى عنه أمره وخفى عليه عاقبته
Al -Syarqawi
العقد الذي فيه غرر هو ما انطوت عنا عاقبته أو ما تردد بين أمرين أغلبهما أخوفهما
Imam Syafie Al-Kasani menyebutkan bahawa Imam Syafie mentakrifkan gharar seperti berikut:
الغرر هو الخطر
Mazhab Hanbali 
Ibn Taymiyyah 
الغرر هو المجهول العاقبة
Ibn Qayyim 
  1. بيع الغرر هو مالا يقدر تسليمه سواء كان موجودا أو معدوما
  2. بيع الغرر هو بيع مالا يعلم حصوله أو لا يقدر على تسليمه أو لا يعرف حقيقية مقداره

Dr. Sidiq Mohammad Dharir membuat kesimpulan bahawa definisi gharar yang dihuraikan oleh al-Sarakhsi, Ibn Taymiyyah dan al-Syarqawi adalah definisi yang menyeluruh kerana ia mencakupi cabang-cabang fikah yang dibahaskan oleh para ulama di bawah perbahasan gharar.

Perbahasan mengenai gharar yang terdapat dalam penulisan-penulisan ulama terdahulu lebih menumpukan kepada gharar dalam jual beli. Para ulama membahaskan bahawa gharar dalam jual beli boleh berlaku dalam beberapa aspek. Al-Baji dan Ibn Rusyd menyatakan gharar dalam muamalat boleh berlaku pada akad, tukaran (`iwadh) dan tempoh. Al-Qarafi membahagikan gharar dalam muamalat kepada tujuh aspek manakala Ibn Juzai pula menyatakan terdapat sepuluh jenis gharar yang ditegah dalam jual beli.

Namun begitu kefahaman yang dapat dinukilkan daripada perbahasan ulama tentang gharar dalam jual beli menjuruskan kesimpulan umum bahawa unsur gharar sangat ditegah dalam muamalah Islam.

PRODUK KEWANGAN ISLAM SEMASA

Sunday, May 8, 2011

Selamatkan Dirimu Dari Neraka.


Hadis Rasullullah SAW di bawah ini adalah diriwayatkan oleh Imam Muslim RA.



Mesej di bawah ini saya tujukan kepada diri saya (Azizul), my fiancee (Ziana) dan kaum keluarga kami berdua KHUSUSnya, dan pembaca-pembaca yang lain AMnya:

Selamatkanlah dirimu dari Neraka.