Sunday, March 6, 2011

NIKMATNYA MELIHAT WAJAH ALLAH...

Setelah beberapa lama mengelilingi Hadiratul Quddus,malaikat Jibril lalu membawa ke semua ahli syurga berkenaan
berkumpul untuk menghadiri satu upacara perhimpunan agung.Allah SWT memerintahkan malaikat Jibril untuk membentangkan satu hamparan permaidani, maka duduklah para tetamu Allah SWT itu berehat dengan penuh gembira dan selera sekali.

Seketika kemudian Allah SWT pun memerintah para malaikat: ”Berikan makan kepada para waliku” Maka muncullah para pelayan membawa pelbagai hidangan istimewa. Semakin banyak dimakan, semakin semakin terasa lazat rasanya. Setiap suap tidak sama rasanya. Subhanallah......mereka terus menikmati hidangan makanan sepuas-puasnya. Setelah makan, Allah SWT memerintahkan : ”Berikan minum pada hamba-hambaKu”. Maka para tetamu Allah SWT tersebut diberi minuman yang rasa airnya bertambah lazat pada setiap teguk. Allahuakbar.....

Setelah para tetamu Allah SWT tersebut menikmati jamuan di ”hari pertama” mereka dikumpullkan beramai-ramai, Allah SWT pun memerintah malaikat Jibril supaya menghadiahkan kepada mereka pakaian-pakaian syurga. Tubuh badan mereka disaluti dengan pelbagai perhiasan yang amat baik dan terlalu tinggi nilainya samaada perhiasan cincin emas yang bertatahkan batu-bata delima atau berlian yang terlalu ajaib dan menakjubkan. Setiap cincin yang dipakai oleh tetamu Allah SWT tersurat kalimah-kalimah tertentu yang memuji kebesaran Allah SWT. Mereka juga dihiasi dengan mahkota syurga yang dihiasi dengan batu-batu permata yang bergemerlapan.

Allah SWT memerintahkan malaikat Jibril menghantar pula bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Maka muncullah seekor burung yang sangat ajaib rupanya dan terlalu cantik pula warnanya terbang di dalam
taman syurga yang permai itu, sambil mengembangkan sayapnya mengelilingi kepada mereka. Maka terpeciklah bau bauan yang sangat harum hasil dari sayap-sayap burung ajaib tersebut lalu merenjis pada tubuh dan pakaian setiap tetamu Allah SWT yang hadir pada majlis itu. Maka bertambah harum dan bertambah nyamanlah suasana syurga pada masa itu. Alangkah tercegangnya para tetamu Allah SWT itu melihat dan mengalami kejadian ajaib yang ditunjukkan oleh Allah SWT itu, sebagai janji kesenangan dan kebahagiaan yang bakal dinikmati oleh manusia yang beriman di alam akhirat nanti.

Seketika kemudian secara tiba-tiba muncullah sebuah mimbar yang diperbuat daripada Nur. Malaikat Jibril mara di tengah manusia yang ramai itu sambil membimbing tangan Nabi Musa naik ke atas mimbar tersebut untuk membaca kitab Taurat. Nabi Musa pun memperdengarkan bacaan Taurat dengan bacaan yang lembut dan jelas didengar oleh sekalian hadirin. Setelah itu, malaikat Jibril menjemput pula nabi Isa naik ke atas mimbar untuk membacakan kitan Injil seperti yang pernah diturunkan ke atas baginda oleh Allah SWT. Setelah nabi Isa memperdengarkan bacaannya, tibalah giliran nabi Daud pula untuk membacakan kitab zabur. Bagindapun memperdengarkan bacaan kitab zabur dengan suara yang amat merdu hingga terpegunlah sekalian tetamu Allah SWT pada hari itu. Setelah itu, malaikat Jibril menjemput Rasululah SAW naik ke atas mimbar untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran. Rasulullah SAW pun membaca Al-Quran dengan suara yang paling merdu dan tidak pernah didengar oleh mana-mana manusia sebelum ini.

Setelah selesai pembacaan kitab-kitab suci yang pernah diturunkan oleh Allah SWT pada umat manusia, maka tiba-tiba
terdengarlah satu suara paling merdu memenuhi ruang syurga yang terbentang luas itu. Suara itu merupakan ”Kalam” (perkataan) Allah SWT sendiri yang pertama kali didengar oleh sekalian ahli syurga tersebut :

”Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku janjikan kepadamu, dan kini kamu boleh meminta nescaya Aku akan berikan permintaanmu.”

Jawab Ahli syurga berulang-ulang :

” Kami minta redhaMu, kami minta redhaMu.”

Dijawab oleh Allah SWT :

”Aku redha kepadamu bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan penghormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima.”

Maka tiba-tiba terangkatlah suatu hijab (halangan) di langit syurga ketika itu. Apabila terbuka sahaja hijab itu, maka keluarlah angin yang lembut bersama dengan sejenis bauan yang sangat harum dan menakjubkan. Sekalian manusia yang berada di taman itu berasa terkejut melihat suatu kejadian paling ajaib yang tidak pernah terfikir oleh akal mereka sebelum ini. Dan selepas itu terbukalah suatu hijab yang lebih besar lagi iaitu hijab yang menghalang setiap makhluk dari melihat wajah Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Di sinilah merupakan saat paling nikmat dan paling berharga bagi setiap penghuni syurga kerana di sinilah tempat pertemuan sebenarnya antara manusia dengan Tuhannya.

Allah lalu memberi salam kepada sekalian manusia yang memenuhi taman syurga pada ketika itu, dan seluruh manusia penghuni syurga tersebut menyambut semula salam Allah dengan rasa nikmat dan syukur yang tidak terperi. Kemudian berkatalah seluruh manusia itu kepada Allah Maha Pencipta, Allah Maha berkuasa, Yang Maha Pengasih dan Maha Mengasihani, "Wahai Tuhan kami, izinkanlah kami sujud kepadaMu hari ini." Allah membalas permintaan seluruh manusia itu dengan kalimah-Nya, "Wahai hamba-hambaKu, hari ini bukanlah merupakan suatu hari untuk kamu semuanya rukuk dan sujud kepada-Ku. Tetapi hari adalah hari pembalasan nikmat untuk kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hamba-Ku, syurga bukanlah tempat untuk kamu semua berbuat ibadat, tetapi ia merupakan tempat mulia untuk kamu semua merasa pembalasan nikmat dan kesenangan yang berkekalan. Walaupun begitu, Aku izinkan kamu semua sujud sekali kepada-Ku pada hari ini."

[Saudara-saudaraku sekalian, yakinlah dengan sepenuh-penuh keyakinan bahawa di akhirat nanti, kita akan bertemu dengan Tuhan yang kita puja dan sanjung. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri menerangkan kepada kita bahawa kita akan dapat melihat Allah Subhanahu wa Ta'ala di akhirat nanti.]

[Sumber: Blog nuursyifa dan "Buku Malam Pertama Di Syurga"]

No comments:

Post a Comment