Thursday, June 23, 2011

Rasullullah Berwudhu dengan Satu Mud Air.

Assalamualaikum. InsyaAllah untuk post kali ini, saya ingin kita sama-sama 'refresh', atau dalam kata lainnya, mengulangkaji mengenai berwudhu sebagaimana wudhu nabi s.a.w. Sejak kecil lagi kita sudah belajar, jadi apa salahnya kita mengingatkan, malah memperbetulkan apa yang kurang, agar amal ibadah kita lebih sempurna, insyaAllah.
Humran r.a. maula kepada Usman menceritakan bahawa dia melihat Usman bin Affan meminta sebuah bekas air untuk berwudhu. Dia menuangkan air itu ke tangannya dan membasuh kedua tapak tangannya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam air, lalu berkumur-kumur dan membersihkan hidung dengan menghirup air ke hidung dan menyemburkannya kembali.
Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali, membasuh kedua belah tangannya hingga siku tiga kali. Kemudian dia menyapu kepalanya, dan setelah itu dia membasuh kaki hingga dua mata kaki tiga kali. Kemudian dia berkata, "Bersabda Rasulullah s.a.w, 'Barangsiapa berwudhu seperti wudhu ku ini, kemudian sembahyang dua rakaat dengan khusyuk, nescaya dia diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu."
-Sahih Bukhari, bab Wudhu-
Daripada hadis ini, dapat kita ambil beberapa pengajaran:

Yang pertama, Rasulullah s.a.w. berwudhu hanya dengan bekas air yang kecil. Dalam hadis lain (sahih Bukhari), Anas bin Malik mengatakan baginda berwudhu hanya dengan satu mud air (secupak), iaitu lebih kurang 600-700ml. Ini menunjukkan betapa hemahnya baginda dalam penggunaan air, tidak seperti yang kita lakukan hari ini.

Kedua, baginda memasukkan tangannya ke dalam bekas air setelah membasuhnya terlebih dahulu. Pencampuran ini yang kita kenali sebagai air musta'mal, masih boleh digunakan untuk menyucikan, seperti diterangkan oleh Sayyid Sabiq dalam kitab Fiqh Sunnah. Hadis Rubayyi binti Mu'wwiz (riwayat Abu Daud, Muslim) menyatakan baginda menyapu kepala dengan sisa air basuhan tangannya. Tidak ada satu dalil pun yang menyatakan air ini tidak suci seperti yang kita belajar sebelum ini. Syarat air musta'mal yang masyur telah menyukarkan dalam berwudhu, malah membawa kepada pembaziran air. Wallahualam. (gjoykamitake: pastikan tangan dibasuh dengan menuang air ke tangan, bukannya mencelup/memasukkan air ke dalam bekas air)

Ketiga, berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Walaupun ulama' berbeza pendapat samada hukumnya sunat atau wajib, tetapi dalam kebanyakkan hadis-hadis sahih menunjukkan baginda selalu berbuat demikian. Perbuatan ini juga didapati dapat menghilangkan penyakit resdung, malah kajian oleh pasukan doktor dari Univ. Alexandria menyatakan perbuatan ini dapat melindungi manusia dari perpindahan microb dari hidung ke organ dalaman (Yusuff al-Hajj Ahmad, Sains Moden menurut perspektif AlQuran & As-sunnah, Jahabersa).



Keempat, membasuh anggota wudhu sebanyak tiga kali merupakan jumlah maksimum, bukannya kewajipan. Dalam hadis sahih Bukhari yang lain turut dinyatakan nabi s.a.w. berwudhu masing-masing satu kali (Ibnu Abbas), dan juga dua kali (Abdullah bin Zaid). Jika anggota wudhu cukup dibasahi dengan sekali, itu sudah mencukupi, tetapi jangan melebihi tiga kali kerana itu adalah bisikan syaitan. Rasulullah mengingatkan "Inilah wudhu, sesiapa menambahnya maka dia berbuat keburukan, melampaui batas dan zalim" (Shahih Sunan Ibnu Majah).

Kelima, kebanyakan hadis menyatakan kepala hanya dibasuh dengan sekali basuhan saja, tidak seperti anggota wudhu yang lain. Perkara ini juga dinyatakan oleh Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunnah. Cara menyapu yang diriwayatkan sekumpulan ulama hadis (termasuk Bukhari dan Muslim) adalah menyapu dari depan kepala ke belakang, kemudian menariknya semula kehadapan. Baginda tidak menyapu ubun-ubun sahaja, tetapi hadis-hadisnya menunjukkan baginda menyapu sebahagian besar kepala.

Sapu kedua-dua telinga dengan menggunakan air yang sama, ini kerana ada sebuah hadis sahih menyatakan 'kedua-dua telinga termasuk sebahagian kepala', dan hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai yang menceritakan baginda menyapu kepala dan telinga dengan satu kali sapu sahaja (dinilai sahih oleh al-Albani).

Menyapu kepala juga dibenarkan dengan menyapu ke atas serban, seperti hadis riwayat Amar bin Umaiyah (Sahih Bukhari). Hadis daripada Bilal, nabi s.a.w. bersabda "Sapulah ke atas kedua-dua khuf dan khimar (kain penutup kepala, seperti serban dan lain-lain seumpamanya)" (riwayat Ahmad). Ini juga menunjukkan bahawa para muslimat juga boleh menyapu ke atas tudungnya, wallahualam.

Keenam, digalakkan melakukan solat sunat dua rakaat selepas selesai berwudhu (solat sunat wudhu), sebagaimana diterangkan dalam hadis pertama diatas. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Bilal, "Wahai Bilal, ceritakanlah kepadaku satu amalam yang paling engkau utamakan selama memeluk Islam. Sebab, aku mendengar bunyi seliparmu dihadapanku ketika aku berada disyurga"

Bilal berkata, "Sebenarnya tidak ada satu amalan yang paling aku utamakan selain mengerjakan solat sunat semampuku sebaik sahaja setelah berwudhu, sama ada di siang hari atau malam." -Sahih Bukhari-

(Gjoykamitake: Marilah sama2 memuhasabah diri kita semua supaya tidak membazir air ketika berwudhu. Kita biasanya menggunakan lebih kurang secebuk air hari untuk membasuh kaki HANYA pada basuhan pertama, padahal Rasullullah SAW menggunakan kuantiti air yang sama (lebih kurang) untuk menghabiskan keseluruhan wudhu. Ingatlah bahawa Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra, ayat 27
 "Sesungguhnya pemboros-pemboros (pembazir-pembazir) itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya. 
Peringatan khusus untuk saya dan umum untuk rakan2 sekalian)

sumber: ulangkaji-cara-berwudhu

No comments:

Post a Comment