Friday, June 24, 2011

Apakah Itu Air Musta'mal dan Apakah Kedudukan Hukumnya?




Persoalan ini kerap kali timbul dikala mengambil wudhu' dalam bilik air pesawat terbang. Suasana saiz bilik air atau sinki yang kecil lagi sempit ditambahi pula dengan kuantiti air yang amat terhad menyebabkan adakalanya timbul kesukaran mengambil wudhu' dan pada waktu yang sama menjaga syarat-syarat air musta'mal. Maka dalam menghadapi suasana ini dirasakan amat perlu dihuraikan secara terperinci hukum sebenar air musta'mal.

Air Musta'mal didefinasikan sebagai air yang kurang dari dua kolah (216 liter) yang terpisah atau mengalir dari atau pada anggota tubuh seseorang yang berwudhu' atau mandi wajib. Contohnya ialah terjatuhnya semula air yang sedang digunakan bagi berwudhu' ke dalam bekas simpanan air yang digunakan sebagai sumber air wudhu' atau air yang sama (tidak mengalir dari sumber yang baru) yang digunakan bagi mengulang-basuh keseluruhan anggota wudhu'. [1] Air Musta'mal juga dikenali ramai sebagai air yang suci tetapi tidak menyucikan.

Hukum air musta'mal dalam etika berwudhu' di kalangan ahli-ahli fiqh di awal zaman sememangnya terbahagi dua iaitu pertama air musta'mal itu wujud dan tidak boleh diterus-guna bagi tujuan berwudhu' sementara kedua ialah air musta'mal itu tidak wujud dan tiada hukum apajua berkenaannya dalam urusan berwudhu'. Perbezaan antara dua pendapat ini wujud atas sebab bezanya hadith-hadith yang sempat diterima oleh satu-satu pihak di zaman terdahulu. Di masa itu (sebelum kurun ke-3H) hadith-hadith hanyalah merupakan hafalan para sahabat dan anak murid mereka yang masih bertaburan di seluruh pelusuk dunia Islam dan ianya masih belum dikumpul dan dibukukan semuanya secara sistematik.

Analisa serta tahqiq oleh ahli-ahli ilmu pertengahan serta akhir zaman mendapati pendapat yang kuat adalah yang mengatakan air musta'mal itu tidak wujud dalam etika berwudhu'. Hujahnya ialah:

Pertama Tiada hadith khusus yang menerangkan tentang air musta'mal dan hubung-kaitnya dalam adab-adab berwudhu'.

Kedua Cara Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang selalunya berwudhu' dalam satu bekas air. Beliau memasukkan tangannya berulang-kali dalam benjana tersebut bagi mencedok air wudhu' dengan sisa-sisa air yang telah digunakan masih di tangannya. Hadith berikut menerangkan:



Abdullah bin Zaid bin Aa'sim al-Ansari radiallahu-anhu berkata: Beliau telah ditanya oleh orang ramai: Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam berwuduk.
Maka beliaupun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk menceduk air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau menceduk air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau menceduk lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau menceduk lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali.
Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mengambil wuduk. [2]






Ketiga Perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang meneruskan perbuatan wudhu'nya kepada beberapa perbuatan dengan menggunakan cedokan air yang sama. Hadith-hadith berikut menerangkan:



[01] Abdullah bin Zaid bin Aa'sim al-Ansari radiallahu-anhu berkata: Beliau telah ditanya oleh orang ramai: Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam berwuduk. Maka beliaupun meminta sebekas air…… Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk menceduk air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali…… Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mengambil wuduk. [3] Hadith ini menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membasuh mulutnya (berkumur-kumur) dan hidungnya dengan satu cedokan air yang sama.
[02] Rabi' binti Ma'waz radiallahu-anhu berkata: Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menyapu kepalanya dengan air yang tersisa dari kedua belah tangannya." [4] Hadith ini menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membasuh kepalanya dengan lebihan air yang ada di tangan yang sudahpun digunakannya.
[03] Abdullah Ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata: "Bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mengusap kepalanya dan dua telinganya, luar dan dalam." [5] Hadith ini menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membasuh kepalanya dan telinganya tanpa mengulangi cedokan air yang baru.



Tiga contoh riwayat di atas menunjukkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mengulangi beberapa perbuatan wudhu' dengan menggunakan air yang sama. Seandainya air musta'mal itu wujud dan tidak boleh diulang-guna apabila berwudhu' sudah tentu beliau akan mengambil cedokan air yang baru setiap kali membasuh satu-satu anggota.

Air musta'mal sebenarnya hanya wujud apabila jelas di dalamnya telah bercampur dengan sesuatu yang disahkan sebagai najis dan kuantiti airnya pula adalah kurang dari dua kolah. Sentuhan atau penggunaan air ke atas tubuh badan seorang Muslim tidaklah merubah sifat air itu kerana tubuh badan orang yang beriman tidak dikategorikan sebagai najis dalam apa jua keadaannya sekalipun sebagaimana sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:



Subhanallah ! Seorang Muslim itu tidak najis! [6]



Maka berdasarkan dalil-dalil serta penerangan di atas, seseorang yang berwudhu' boleh mengulang-guna air bagi membasuh anggota-anggota wudhu'nya. Air yang diulang guna tersebut adalah tetap suci serta menyucikan kecuali jikalau ia telah jelas tercemar dengan sesuatu najis atau kotoran.

Kesimpulan 
 
1. Rujukan kepada sumber-sumber nas as-Sunnah jelas menunjukkan Air Musta'mal tidak wujud dalam kebiasaan etika berwudhu'.
 
2. Sesuatu kuantiti air itu hanya tidak boleh digunakan semula bagi tujuan berwudhu' apabila ia telah bercampur dengan najis sehingga berubah salah satu dari sifatnya samada bau atau rasa atau warna.

3. Tubuh badan seorang Islam tidaklah ia dipandang sebagai najis dan tidaklah ia merubah sifat air.
  
Rujukan
 
[1] Ensiklopidi Hukum Islam - Air.

[2] Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0136.

[3] Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0136.

[4] Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0117.

[5] Maksud hadith dari Sunan Tirmizi - no: 0036.

[6] Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0210.
 

No comments:

Post a Comment