Dah lama saya berhajat untuk berjumpa secara empat mata dengan Tuan Guru Nik Aziz. Selama ini hanya berkesempatan melihat melalui kaca TV atau dari jauh sahaja. Mengenangkan keadaan beliau yang semakin berusia, jadi hajat itu mesti segera ditunaikan. Saya risau jika ‘tidak sempat’.
Dua kali perancangan saya hendak ke Kelantan bertemu beliau gagal disebabkan oleh beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Namun, alhamdulillah, beberapa minggu selepas itu, tiba-tiba saya mendapat SMS dari seorang sahabat dari Masjid Asy-Syarif, Meru, Klang bahawa Tuan Guru Nik Aziz akan memberi tadzkirah ringkas di masjid tersebut.
Sungguh tidak disangka. Rupa-rupanya kedatangan TGNA ke masjid tersebut memang tidak dijadualkan pada awalnya. Pihak masjid hanya confirm program tersebut pada tengaharinya. Dan saya mendapat SMS tentang hal itu hanya pada sebelah petangnya. Jadi, memang tak ramai yang tahu.
Namun, dalam notis yang sangat singkat itu pun, masjid penuh dihadiri oleh ahli masyarakat yang tinggal sekeliling masjid tersebut. Ini bermakna, rangkaian maklumat yang dipunyai oleh masjid tersebut sangat baik dan disokong oleh surau-surau di sekeliling kawasan tersebut.
Pesanan Tentang Solat
Tuan Guru Nik Aziz dalam tadzkirahnya menyentuh perihal kepentingan ibadah solat fardhu. Kefardhuan solat 5 waktu tidak seperti ibadah-ibadah yang lain. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah diisra’ dan dimi`rajkan ke Sidratul-Muntaha untuk menerima kefardhuannya. Ini menunjukkan bahawa ibadah solat fardhu ini mempunyai darjat yang sangat tinggi.
Beliau menekankan betapa ummat ISLAM mesti menjaga solat fardhu. Dalam keadaan macam mana sekali pun, solat fardhu tidak boleh ditinggalkan. Samada dalam keadaan letih, uzur, sakit atau dalam musafir; solat tidak boleh ditinggalkan. Untuk itu ALLAH Ta`ala telah memberikan keringanan buat hamba-hambaNYA untuk menunaikan ibadah yang sangat penting ini dalam keadaan tertentu seperti sakit, uzur, musafir atau dalam keadaan sedang berperang sekali pun. Ini memberi isyarat kepada kita, solat tidak boleh ditinggalkan walau dalam keadaan apa sekali pun.
Dalam ibadah solat fardhu, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah menyuruh ummatnya yang terdiri dari kalangan ibubapa agar mengajar anak-anak mula bersolat fardhu pada umur 7 tahun. Dan pada umur 10 tahun, sekiranya tidak mengerjakan solat fardhu, maka hendaklah dipukul anak itu sebagai nilai pendidikan kepada anak tersebut. Suruhan ini telah disebut oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam khusus untuk solat fardhu, tidak untuk ibadat yang lain. Ini menunjukkan peri pentingnya ibadah solat fardhu diperkenalkan sejak dari kecil lagi.
Jika hendak dibandingkan dengan ibadah lain, solat juga dilihat sangat istimewa kerana ia adalah antara ibadah yang wajib untuk kita berwudhu apabila mahu melakukannya.
Solat adalah tanda kepatuhan dan ketaatan hamba kepada ALLAH `Azza wa Jalla. Setiap pergerakan dan susun atur cara melakukannya telah ditetapkan oleh ALLAH melalui tunjuk ajar oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Cara melakukannya tidak boleh diubah dan dibuat sesuka hati. Ibarat pasukan beruniform yang dilihat gahnya pergerakan dan keseragaman mereka. Lihat sahaja ketaatan dan kepatuhan pasukan beruniform terhadap arahan komandernya. Nilai ini adalah satu nilai istimewa yang tidak ada pada orang biasa. Begitu jugalah dengan pergerakan, ketaatan dan kepatuhan kita di dalam solat.
Solat juga adalah doa. Dalam tadzkirah tersebut, Tuan Guru Nik Aziz memberitahu bahawa beliau selalu menekankan kepada rakyat negeri Kelantan bahawa apabila kita memerlukan pertolongan dan mempunyai hajat terhadap sesuatu, agar mintalah kepada ALLAH dengan cara mendirikan solat. Walau bagaimanapun, beliau menegur sebilangan tindakan orang ramai yang meminta orang lain tolong solatkan untuk hajatnya. Walhal, orang itulah yang sepatutnya yang bersungguh-sungguh bersolat dan meminta kepada ALLAH, bukan dengan mengupah orang lain.
Sungai Yang Panjang
Tuan Guru Nik Aziz mengingatkan kepada para jemaah yang hadir bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah lama meninggalkan kita. Sudah lebih 1400 tahun lamanya Baginda telah wafat.
Beliau mengajak ahli jemaah yang hadir agar merenung dan berfikir, adakah kita yakin bahawa apa yang kita lakukan ini serupa dengan kehendak Nabi sallAllahu `alaihi wasallam? Lihat sahaja kehidupan seharian kita, lihat juga keluarga kita, lihatlah kerjaya kita dan lihatlah juga amal ibadah kita…
ISLAM ini ibarat air hujan yang turun di puncak bukit. Air hujan yang turun di puncak bukit suci dan bersih sifatnya. Bayangkan air hujan ini yang terpaksa melalui perjalanan sejauh 1400 km sebelum sampai ke rumah kita.
Dan di dalam perjalanan yang jauh itu, air hujan yang suci dan bersih pada asalnya itu telah melalui kawasan-kawasan yang kotor. Ada kalanya bertemu dengan najis binatang, bangkai-bangkai dan pelbagai kotoran. Jadi, hendaklah kita yang mahu menggunakan air itu menapisnya dahulu agar boleh digunakan untuk meminum atau lain-lain kegunaan.
MasyaALLAH, la quwwata illa biLLAH. Cantik sungguh perumpamaan yang diberi oleh Tuan Guru. Saya terkedu apabila membayangkannya.
Beliau mengajak agar ummat ISLAM menapis juga kehidupan kita agar sesuai dengan kehendak ALLAH dan RasulNYA. Dalam tempoh yang panjang itu, ummat ISLAM telah melalui berbagai-bagai fasa, idea dan isme yang sedikit sebanyak telah meracuni pemikiran ummat ISLAM, antaranya sosialisme, komunisme dan nasionalisme. Justeru, kita mestilah menapis semuanya agar kembali sesuai dengan ajaran ALLAH melalui Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Tunjukkanlah Jalan Yang Lurus
Untuk memastikan agar tapisan yang kita buat itu betul dan tepat, sebab itu di dalam solat kita selalu sebut “ihdina as-sirat al-mustaqim” yang bermaksud “tunjukkanlah kami jalan yang lurus (yang tepat dengan kehendak ALLAH)” di dalam surah al-Fatihah berulang-ulang kali setiap kali solat. Kita sentiasa mendambakan akan hidayah dan taufiq dari ALLAH untuk menempuhi kehidupan yang sangat panjang dan penuh dengan ujian ini.
Jalan yang lurus ini macam mana? “Sirat alladzina an`amTA `alaihim” iaitu yang bermaksud “jalan yang telah ENGKAU beri nikmat kepada mereka”. Siapa yang telah diberi nikmat? Mereka ialah para nabi dan para Rasul `alaihimussolatu wassalam.
Jika kita baca kisah tentang para nabi dan rasul-rasul, nescaya kita akan temui bahawa kehidupan mereka ini bukanlah mudah dan senang sepertimana kita. Kehidupan mereka penuh dengan cabaran dan tentangan. Bukan sahaja tentangan itu datang dari orang lain, malah dari kaum keluarga dan orang terdekat juga. Betapa teruknya ujian yang terpaksa mereka tempuhi.
Nah, cuba bandingkan dengan kehidupan kita…?
Tiada surah lain yang apabila dibaca, disebutkan amin beramai-ramai di dalam solat kecuali sehabis membaca surah al-Fatihah. “Amin” bermaksud “perkenankanlah” dan betapa pentingnya inti surah al-Fatihah itu untuk dikabulkan permintaan oleh kita semua yang mengaminkannya. Antara yang terkandung di dalam surah al-Fatihah itu ialah “tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. Justeru, kita sebagai ummat ISLAM mestilah sangat-sangat menitik beratkan agar kehidupan kita ini berjalan di atas jalan yang lurus, iaitu jalan yang diredhai oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.
Tetapkanlah Hati Ini Di Atas Agama ALLAH
Di dalam solat penuh dengan do`a. Dan Tuan Guru Nik Aziz telah mengingatkan ahli jemaah yang hadir agar mengamalkan do`a ini selepas membaca tasyahud akhir, sebelum memberi salam:
“Allahumma ya Muqollibal-qulub, thabbit qalbi `ala diniKA, wa `ala to`a tiKA” yang bermaksud “Ya ALLAH, wahai Tuhan yang Membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku ini di atas agamaMU, dan di atas keta`atan terhadapMU”.
Doa ini sangat penting untuk diminta selalu. Kerana hati adalah raja kepada diri. Hati memberi kesan kepada perbuatan dan amalan manusia. Justeru, meminta hati agar ditetapkan di atas agama ALLAH dan supaya sentiasa berada di dalam ketaatan terhadapnya sangat perlu diutamakan.
Ramai orang ingat maksiat hanya minum arak, berzina, berjudi dan seumpamanya. Bahkan sebenarnya makna maksiat lebih luas dari itu. Apa sahaja perbuatan yang bercanggah dengan kehendak ALLAH itulah dinamakan maksiat. Cara hidup, cara berkeluarga, cara bersosial, cara bermasyarakat, cara berekonomi, cara berpolitik, cara mendidik yang tidak ikut cara ALLAH bermakna sedang bermaksiat dengan ALLAH.
Mudah-mudahan dengan membaca doa ini dan dengan hidayah dan taufiq daripadaNYA, mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan hamba-hamba ALLAH yang tidak bermaksiat terhadapNYA, amin…
Mati, Hari Kebangkitan dan Balasan
Di akhir tadzkirah beliau, Tuan Guru Nik Aziz hafizohullah telah menyentuh tentang hakikat kematian yang mesti dihadapi oleh setiap makhluq. Semua orang akan mati. Malah doktor yang ramai manusia berjumpa dengan mereka untuk mengelak dari mati, pun akan mati!
Mati bukan setakat mati. Tetapi setelah mati akan dihidupkan semula untuk dibalas atas semua perbuatan yang telah dilakukan. Tuan Guru Nik Aziz telah menghuraikan cerita tentang kedahsyatan peristiwa hari kiamat dan bagaimana manusia semua dibangkitkan sebagaimana yang telah dirakam di dalam surah al-Zalzalah. Ketika itu semua akan tergamam, keliru dan buntu!
Perihal hakikat kematian, kehancuran dunia dan hari kebangkitan adalah satu iklan terbuka oleh ALLAH. ALLAH `Azza wa Jalla telah sebut dalam banyak ayat di dalam al-Quran tentangnya. Namun, hanya sedikit sahaja yang ingat, yang ambil pengajaran serta bersedia untuk berhadapan dengannya…
Pada hari akhirat, semua manusia akan dibalas sesuai dengan perbuatan dan amalannya. Jika baik niat dan amal kita, maka baik jugalah ganjarannya nanti.
Kita adalah mukallaf, iaitu orang yang dibebankan dengan tanggungjawab dan amanah dari ALLAH. Sungguhpun kita berasa berat dengan bebanan ini, namun kita mesti memikulnya dengan sabar dan syukur. Mana ada orang yang suka untuk memikul beban?
Tuan Guru mengumpamakan seorang anak kecil yang disuruh oleh bapanya untuk mengangkat barang. Tentu sahaja anak kecil itu berasa malas dan mengelakkan diri agar tidak perlu mengangkat barang yang disuruh oleh bapanya itu. Namun, apabila dikatakan bahawa sekiranya diangkat barang itu nanti akan diberi gula-gula, coklat atau mainan, tentunya si anak kecil itu dengan penuh bersemangat dan ceria untuk menyahut suruhan bapanya itu.
Oh, perumpamaan ini begitu menusuk ke qalbu tatkala saya mendengarnya. Ya, syurga itulah ganjaran yang dijanjikan ALLAH terhadap hamba-hambaNYA yang sanggup sabar dan syukur dengan semua ujian di bumi ini. Moga-moga kita bisa memikul taklifan ini dan kekal di atas jalanNYA yang lurus lagi benar, amin…
Mudah-mudahan catitan ringkas ini bisa memberikan manfaat buat diri saya dan kalian yang sudi membacanya. Program ini telah diadakan pada 19/2/2011 yang lalu dan maaf kerana hanya hari ini saya sempat menulis tentangnya. Walaupun sudah lebih dua bulan berlalu, namun memori ini tetap segar dalam ingatan saya.
Semoga Tuan Guru Nik Aziz terus diberkati kehidupannya, amin. Dan mudah-mudahan kita semua dapat mencontohi sifat dan tauladan yang beliau tunjukkan dan semoga kita semua berada dalam peliharaan ALLAH Jalla wa A`la, amin…
wALLAHU Ta`ala A`lam.
Sumber: al-ahkam.net
No comments:
Post a Comment