Saturday, September 10, 2011

Solat Rawatib Ghairu Mu'akkad

6)      SOLAT RAWATIB GHAIRU MU’AKKAD

Berkaitan solat Rawatib Qabliyah Asar, Maghrib dan Isyak maka ianya termasuk dalam solat sunat yang tidak mu’akkad. Maka mengerjakannya termasuklah amalan-amalan sunat yang terpuji. Dalil disyariatkan solat-solat tersebut adalah keumuman sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ثَلاَثًا لِمَنْ شَاءَ.
Maksudnya:
Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) ada solat (sunat) – baginda mengulanginya hingga tiga kali- bagi yang menghendakinya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no 624.


Di samping itu terdapat juga hadis khusus yang meriwayatkan anjuran untuk mengerjakan solat Qabliyah Asar sebanyak empat rakaat malah bagi mereka yang mengerjakannya akan dikasihi oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعًا.
Maksudnya:
Allah akan mengasihi orang yang mengerjakan solat empat rakaat sebelum Asar. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 430.

Berkaitan solat Qabliyah Maghrib telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu’ anh, dia berkata:

كَانَ الْمُؤَذِّنُ إِذَا أَذَّنَ قَامَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْتَدِرُونَ السَّوَارِيَ

حَتَّى يَخْرُجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُمْ كَذَلِكَ يُصَلُّونَ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْمَغْرِبِ

وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ شَيْءٌ. قَالَ عُثْمَانُ بْنُ جَبَلَةَ وَأَبُو دَاوُدَ عَنْ شُعْبَةَ:

لَمْ يَكُنْ بَيْنَهُمَا إِلَّا قَلِيلٌ.

Biasanya apabila muadzdzin (juru azan) mengumandangkan azan, maka para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri dan segera menghampiri tiang-tiang (untuk dijadikan sutrah) sampai Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar sedang mereka dalam keadaan demikian. Mereka solat dua rakaat sebelum (Qabliyah) Maghrib. Tiada (yakni jarak waktu yang singkat) sesuatu di antara azan dan iqamah. ‘Utsman bin Jabalah dan Daud meriwayatkan daripada Syu’bah: Tiada (jarak) antara keduanya kecuali sebentar. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 625

Berkenaan dengan solat Qabliyah Maghrib ini al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

Saya (iaitu Ibnu Hajar) katakan bahawa seluruh dalil menunjukkan bahawa solat dua rakaat sebelum (Qabliyah) Maghrib dilaksanakan secara ringkas (ringan) seperti solat sunat Fajar. Hikmah dianjurkan solat sunat dua rakaat tersebut adalah sebagai harapan agar doanya dimakbulkan, sebab doa di antara azan dan iqamah tidak ditolak (mustajab). Apabila suatu waktu itu lebih mulia, maka pahala ibadah yang dikerjakan pada waktu tersebut akan lebih banyak – al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 4, ms. 89


------------------------------


Solat Sunat Rawatib
Solat Rawatib Subuh
Solat Rawatib Zuhur
Solat Rawatib Maghrib
Solat Rawatib Isyak
Solat Rawatib untuk Solat Jumaat
Solat Rawatib Ghairu Mu'akkad

( Sumber: hafizfirdaus.com )
   
 

No comments:

Post a Comment