Saturday, September 10, 2011

Solat Rawatib Maghrib

3)      SOLAT RAWATIB MAGHRIB

v  Dalil Disyari’atkan

Solat Ba’diyah Maghrib adalah termasuk dalam kategori solat sunat Rawatib yang mu’akkad. Dalilnya adalah seperti riwayat di bawah:

 فَقَالَتْ كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ

ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ الْمَغْرِبَ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ.

Maksudnya:
Lalu dia (‘Aisyah radhiallahu’ anha) berkata adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat di rumahku sebelum Zuhur empat rakaat, kemudian baginda keluar lalu bersolat (Zuhur) bersama orang ramai, kemudian baginda masuk ke rumahku dan bersolat dua rakaat. Baginda bersolat Maghrib dengan orang ramai, kemudian baginda masuk ke dalam rumahku lalu bersolat dua rakaat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 730.



v  Keutamaannya

Bagi mereka yang mengerjakan solat Ba’diyah Maghrib ini, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menyediakan baginya sebuah rumah di syurga. Sila rujuk hadis daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha yang telah penulis paparkan pada awal perbahasan tentang solat rawatib.


v  Tatacara Perlaksanaannya Serta Hukum-Hukum Berkaitan

q  Jumlah Rakaatnya
Ianya dilaksanakan sebanyak dua rakaat setelah mengerjakan solat Maghrib dan Rasulullah s.a.w mendirikannya di rumah baginda. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha:

وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ الْمَغْرِبَ ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya:
Adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat Maghrib kemudian baginda kembali ke rumahku lalu baginda mengerjakan solat dua rakaat. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1060.

Justeru itu adalah lebih afdal sekiranya solat Ba’diyah Maghrib ini didirikan di rumah masing-masing melainkan terdapat keperluan untuk mengerjakannya di masjid.

q  Surah Yang Dibacakan
Lazimnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membaca surah al-Kaafiruun dan al-Ikhlash semasa solat Ba’diyah Maghrib ini. Daripada Ibnu Mas’ud radhiallahu’ anh, dia berkata:

مَا أُحْصِي مَا سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ

بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَفِي الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ بِقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ.

Maksudnya:
Saya tidak dapat menghitung betapa seringnya saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dalam solat dua rakaat selepas Maghrib dan dua rakaat sebelum Subuh ‘Qul yaa ayyuhal kaafiruun’ dan ‘Qul huwallahu ahad’. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 396.

q  Ringkasan tatacara mengerjakan Solat Rawatib Ba’diyah Maghrib

Rakaat Pertama
1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Ba’diyah Maghrib
2)      Takbiratul Ihram
3)      Doa Iftitah
4)      Membaca surah al-Fatihah
5)      Membaca Surah al-Qur’an
6)      Rukuk
7)      Iktidal
8)      Sujud
9)      Duduk antara dua sujud
10)    Sujud kali kedua
11)    Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1)      Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)      Duduk untuk tahiyyat akhir

No comments:

Post a Comment