Saturday, September 10, 2011

Solat Rawatib untuk Solat Jumaat

5)      SOLAT RAWATIB UNTUK SOLAT JUMAAT

Berkaitan dengan solat rawatib ketika solat Jumaat penulis akan membahagikan perbincangan kepada empat topik besar iaitu:
                         i.                   Mendirikan Solat Sunat Mutlak.
                       ii.                   Azan untuk solat Jumaat hanya sekali.
                     iii.                   Adakah disyari’atkan Solat Qabliyah Jumaat?
                     iv.                   Solat Ba’diyah Jumaat.


v  Mendirikan Solat Sunat Mutlak

Mendirikan solat sunat Mutlak pada hari Jumaat iaitu sebelum imam naik ke mimbar dan azan dilaungkan merupakan satu amalan yang agak asing bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia. Lazimnya mereka lebih terbiasa untuk mengerjakan solat sunat Qabliyah Jumaat berbanding solat sunat Mutlak ini sehinggakan sesetengah pihak akan terpinga-pinga apabila disebut solat sunat Mutlak pada hari Jumaat ini. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana Imam al-Syafi’i rahimahullah telah memperjelaskan tentang kewujudan solat sunat Mutlak ini di dalam kitabnya al-Umm. Beliau telah menyatakan:

Dikhabarkan kepada kami oleh Ibrahim bin Muhammad, yang mengatakan dikhabarkan kepada saya oleh Ishak bin Abdullah, daripada Sa’id al-Maqburi, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang solat pada tengahari, sehinggalah gelincir matahari, selain Jumaat. – Rujuk kitab al-Umm (Kitab Induk) karya Imam al-Syafi’i, jilid 2, ms. 21.

Dikhabarkan kepada kami oleh Malik daripada Ibnu Syihab, daripada Tsa’labah bin Abi Malik, bahawa dia mengkhabarkan kepadanya, bahawa mereka itu berada pada zaman ‘Umar bin al-Khatthab radhiallahu’ anh pada hari Jumaat mengerjakan solat (sunat Mutlak - pen) sehingga datanglah ‘Umar bin al-Khatthab. Tatkala ‘Umar telah datang dan duduk atas mimbar dan juruazan melakukan azan, mereka duduk berbincang-bincang. Sehingga apabila juruazan sudah diam, nescaya mereka itu diam. Dan tiada seorangpun yang berbicara. Disampaikan hadis kepada saya oleh Ibnu Abi Fudaik, daripada Ibnu Abi Dzi’b, daripada Ibnu Syihab, yang mengatakan, disampaikan hadis kepada saya oleh Tsa’labah bin Abi Malik, bahawa duduk imam itu memutuskan bertasbih. Dan perkataan imam itu memutuskan perkataan orang-orang yang hadir. Mereka itu berbincang-bincang pada hari Jumaat dan ‘Umar duduk atas mimbar. Apabila juruazan sudah diam, nescaya ‘Umar berdiri, lalu tiada seorangpun yang berkata-kata sehingga diselesaikan oleh ‘Umar akan khutbah itu seluruhnya. Apabila dibacakan iqamah untuk solat dan ‘Umar turun, lalu mereka itu berkata-kata.

Apabila manusia pergi menghadiri solat Jumaat, nescaya mereka itu bersolat, sehingga jadilah imam di atas mimbar. Apabila imam telah berada di atas mimbar, nescaya dicegah dari mereka itu orang yang telah mengerjakan solat dua rakaat (Tahiyyatul Masjid - pen) atau lebih dari berkata-kata. Sehingga imam itu sudah mulai berkhutbah. Apabila dia telah mula berkhutbah, nescaya diam dengan memperhatikan. – Rujuk kitab al-Umm (Kitab Induk) karya Imam al-Syafi’i, jilid 2, ms. 22.

Sekian kata-kata Imam al-Syafi’i rahimahullah. Dari ini dapat kita rumuskan bahawa :

q  Adalah disunnahkan untuk mengerjakan solat sunat mutlak sebelum azan dikumandangkan. Berkenaan dengan solat sunat mutlak ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

Dianjurkan bagi orang yang masuk masjid pada hari Jumaat (bila sahaja) untuk mengerjakan solat sunat Mutlak sebelum duduk tanpa terikat dengan bilangan (rakaat – pen), juga tidak ditentukan waktunya, hingga imam keluar. Atau duduk ketika masuk masjid setelah solat Tahiyyatul Masjid atau sebelumnya. – Rujuk Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah, (edisi terjemahan dengan tajuk Solat Jum’at Bersama Rasulullah : Hukum Dan Bid’ah Solat Jumaat, Najla Press, Jakarta, 2002) ms. 60.

q  Tentang larangan untuk bersolat pada waktu tengahari sehingga gelincir matahari, maka khusus untuk hari Jumaat ianya diperbolehkan. Maka solat sunat Mutlak ini dilakukan sebelum diserukan azan solat Jumaat sebanyak dua rakaat-dua rakaat tanpa batasan jumlah yang tertentu. Maka perhatikanlah akan hal ini wahai pembaca yang budiman, berapa ramaikah umat Islam di Malaysia yang melakukan solat sunat Mutlak yang sememangnya disyari’atkan ini bahkan dianjurkan perlaksanaannya oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah sendiri? Dalil tentang solat sunat Mutlak ini adalah sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَنْ اغْتَسَلَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَصَلَّى مَا قُدِّرَ لَهُ ثُمَّ أَنْصَتَ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْ خُطْبَتِهِ

ثُمَّ يُصَلِّي مَعَهُ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الأُخْرَى وَفَضْلُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ.

Maksudnya:
Barangsiapa mandi pada hari Jumaat kemudian mendatangi solat Jumaat dan bersolat sekadar kemampuannya, serta dia diam mendengarkan khutbah imam sehingga selesai, lalu dia bersolat bersamanya, maka diampunilah dosa-dosanya yang terdapat di antara Jumaat itu dengan Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 857.

q  Berbicara ketika azan dikumandangkan adalah tidak mengapa dan yang diharamkan adalah berbicara ketika imam sudah memulakan khutbahnya. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ "أَنْصِتْ!" وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ.

Maksudnya:
Apabila kamu berkata kepada temanmu di hari Jumaat “Diamlah!”, padahal imam sedang berkhutbah, maka engkau telah melakukan perbuatan sia-sia. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 934.

Setelah Imam berkhutbah tidak dibenarkan lagi bagi para makmun mengerjakan apa jua jenis solat sunat kecuali bagi mereka yang belum mengerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyyatul Masjid.


v  Azan Untuk Solat Jumaat Hanya Sekali

Sebelum kita meneruskan perbahasan tentang solat Qabliyah Jumaat, sewajarnya kita mengulas terlebih dahulu persoalan tentang azan untuk solat Jumaat. Berkaitan dengan laungan azan untuk solat Jumaat, Imam al-Syafi’i rahimahullah dalam kitabnya al-Umm telah berkata:

Saya (Imam al-Syafi’i) menyukai bahawa azan pada hari Jumaat itu, ketika imam masuk masjid. Dan dia duduk pada tempatnya yang dia berkhutbah...Apabila imam telah berbuat demikian, lalu juruazan melaksanakan azan. Apabila telah selesai (azan tersebut – pen), lalu imam itu berdiri, lalu membaca khutbah. Tiada lebih dari demikian. – Rujuk Imam al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jilid 2, ms. 15.

Dikhabarkan kepada kami oleh al-Rabi’, yang mengatakan: Dikhabarkan kepada kami oleh al-Syafi’i, yang mengatakan: Dikhabarkan kepada saya oleh orang yang dapat dipercayai, daripada al-Zuhri, daripada al-Sa’ib bin Yazid: bahawa adalah permulaan bagi azan itu bagi Jumaat, ketika imam duduk atas mimbar pada masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar dan ‘Umar. Tatkala masa Khalifah Uthman dan orang semakin ramai lalu Uthman menyuruh dengan azan kedua. Lalu dilaksanakan azan itu. Maka tetaplah urusannya atas yang demikian.
‘Atha’ menentang bahawa Uthman yang mengadakan azan kedua itu. Dan mengatakan: azan kedua itu diadakan oleh Muawiyah – dan Allah Subhanahu wa Ta’ala lebih mengetahui.
Manapun (antara –pen) orang yang dua (iaitu Uthman atau Muawiyah – pen) yang mengadakan (azan kedua tersebut – pen), maka keadaan yang pada masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah saya (Imam al-Syafi’i) lebih menyukai. – Rujuk Imam al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jilid 2, ms. 15-16.

Sekian kata-kata Imam al-Syafi’i rahimahullah. Dari kenyataannya itu dapat kita rumuskan bahawa :

q  Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah ‘Umar al-Khatthab radhiallahu’ anhum, azan untuk solat Jumaat hanya dikumandangkan satu kali iaitu setelah imam memasuki masjid dan duduk atas mimbar. Tetapi pada zaman Khalifah Uthman al-Affan radhiallahu’ anh, jumlah umat Islam di kota Madinah al-Munawwarah semakin ramai, rumah-rumah mereka semakin jauh dari Masjid Nabawi dan kedaan kota semakin sibuk dan pesat membangun. Disebabkan oleh perkembangan tersebut, Khalifah Uthman al-Affan radhiallahu’ anh telah berijtihad bahawa laungan azan untuk solat Jumaat yang dikumandang hanya sekali di Masjid Nabawi sudah tidak memadai untuk memanggil orang ramai solat berjemaah di masjid. Maka beliau memerintahkan satu lagi azan dilaungkan sebelum masuk waktu solat Jumaat di sebuah ruangan pasar miliknya bernama al-Zaura’ bertujuan untuk orang ramai yang sibuk dengan urusan harian bersiap sedia untuk mengerjakan solat Jumaat. Tempat yang bernama al-Zaura’ ini terletak di tengah-tengah kota Madinah. Oleh itu azan pertama itu tidak dilakukan di Masjid Nabawi yang kekal dengan hanya satu azan sahaja oleh seorang tukang azan. Daripada al-Sa’ib bin Yazid radhiallahu’ anh, dia berkata:

كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ

عَلَى الزَّوْرَاءِ.

Maksudnya:
Seruan (azan) pada hari Jumaat pada mulanya (dilakukan) apabila Imam duduk di atas mimbar, (begitulah) pada zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar dan ‘Umar radhiallahu’ anhuma. Namun tatkala manusia bertambah ramai pada (zaman ‘Uthman radhiallahu’ anh), beliau menambahkan seruan ke tiga di atas al-Zaura’. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 912.

Iqamah juga dikenali sebagai azan maka maksud tiga azan dalam hadis ini adalah dua kali azan yakni di al-Zaura’ dan Masjid Nabawi dan sekali Iqamah sejurus sebelum melaksanakan solat Jumaat. Berkaitan dengan faktor yang menyebabkan Saidina Uthman radhiallahu’ anh mengarahkan diserukan azan pertama di al-Zaura’, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur:

Sebab yang mendorong Uthman untuk melakukan azan dua kali sudah tidak ada lagi pada zaman sekarang ini. Sebab dulu Uthman berada di sebuah kota yang sangat besar seperti al-Madinah al-Munawwarah dengan hanya satu masjid di dalamnya. Padahal jumlah penduduk terlalu ramai dan tempat tinggal sangat berjauhan. Oleh kerana itu mereka menghadapi kesulitan untuk mendengar suara azan yang dikumandangkan dari pintu masjid. Adapun kota yang sudah banyak masjidnya, maka orang tidak perlu lagi untuk berjalan jauh-jauh ketika hendak menghadiri solat Jumaat. Selain itu bukankah azan pada zaman sekarang telah dimasukkan di dalam pembesar suara. Maka azan dua kali yang diupayakan oleh Uthman tidak perlu lagi dikerjakan...Kesimpulannya, bahawa menurut kami, sekarang ini sudah cukup mengumandangkan azan sekali sahaja, seperti yang dikerjakan pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Azan itu hendaklah dilakukan ketika imam keluar dan mula naik ke atas mimbar. – Rujuk Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin (Edisi terjemahan dengan tajuk Koreksi Total Ritual Solat, Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms. 344.

Menurut Syaikh Wahid Abdussalam Bali senario yang memungkinkan untuk melaungkan azan dua kali untuk solat Jumaat pada zaman sekarang adalah seperti berikut:

Jika sekarang ada sebuah kampung yang tidak memiliki pembesar suara untuk menguatkan suara azan, penduduknya tidak memiliki jam untuk memberitahukan kepada mereka bahawa waktu (untuk solat) Jumaat sudah dekat, dan tidak pula di rumah-rumah mereka terdapat radio dan sejenisnya dari sarana-sarana komunikasi moden yang dengannya mereka boleh mengetahui masuknya waktu solat Jumaat, maka disyari’atkan agar muadzin mengumandangkan azan kepada mereka di tempat tinggi beberapa waktu sebelum waktu Jumaat yang cukup agar mereka dapat bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat
Adapun jika manusia memiliki jam yang dapat memberitahukan waktu kepada mereka, atau di masjid terdapat pembesar suara yang boleh memperdengarkan kepada manusia di rumah-rumah dan tempat kerja mereka, maka azan awal di dalam keadaan ini tidak diperlukan lagi. Sebaiknya, ketika itu hanya mencukupkan dengan satu azan pada saat khatib naik mimbar. – Rujuk Syaikh Wahid Abdussalam Bali, Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’ asy-Sya’iah (edisi terjemahan dengan tajuk 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, Darul Haq, Jakarta 2005), ms. 385.

Menurut Imam al-Syafi’i r.h mencontohi Rasulullah s.a.w. adalah lebih beliau sukai iaitu mengekalkan dengan hanya satu laungan azan sahaja sepertimana ketika Nabi s.a.w. telah duduk di atas mimbar. Ini sebagaimana dikatakan oleh al-Sa’ib bin Yazid radhiallahu’ anh, dia berkata:

كَانَ بِلاَلٌ يُؤَذِّنُ إِذَا جَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ

فَإِذَا نَزَلَ أَقَامَ.

Maksudnya:
Bilal menyerukan azan bila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah duduk di atas mimbar, dan dia iqamah bila baginda telah turun. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, hadis. no 1377.

Wahai pembaca yang budiman, ketahuilah bahawa inilah mazhab sebenar Imam al-Syafi’i rahimahullah tentang jumlah azan untuk solat Jumaat. Sebaik sahaja tukang azan selesai melaungkan azan, maka imam akan bangun dan memulakan khutbahnya. Maka ketika ini semua makmum wajib diam dan menumpukan perhatian kepada khutbah imam.


v  Adakah Disyari’atkan Solat Qabliyah Jumaat?

Setelah kita fahami bahawa yang lebih bertepatan dengan sunnah baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dan mazhab sebenar Imam al-Syafi’i rahimahullah berkaitan dengan azan pada hari Jumaat adalah dengan dikumandangkan sekali sahaja, maka kita juga boleh simpulkan bahawa pendapat yang lebih tepat adalah tidak disyari’atkan untuk mengerjakan solat sunat Qabliyah sesudah azan kerana tidak ada ruang waktu untuk mendirikannya. Ini adalah kerana sebaik sahaja selesai azan, imam akan membacakan khutbahnya. Telah berkata al-Hafidz al-‘Iraqi rahimahullah berkaitan dengan hal ini:

Tidak diriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda pernah solat sunat sebelum solat Jumaat, kerana baginda keluar untuk solat Jumaat lalu Bilal azan di hadapannya kemudian berkhutbah. - Dinukil dari kitab Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah, ms. 43-44.

Ibnu Qayyim rahimahullah pula telah berkata:

Apa yang perlu dicatat, tidak terdapat solat sunat Qabliyah Jumaat. Ini disebabkan, apabila Bilal selesai melaungkan azan, maka Nabi s.a.w. terus menyampaikan khutbah tanpa ada selang waktu. Inilah yang terjadi. Maka bagaimana mungkin ada anggapan bahawa setelah Bilal azan mereka bangkit untuk mendirikan solat sunat dua rakaat. – Rujuk Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtashar Zaadul Ma’ad, ms. 47.

Dan sekiranya ada yang menyatakan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat sunat di rumahnya, maka tentu telah datang riwayat daripada isteri-isteri baginda akan hal tersebut. Tetapi tidak ada seorang pun daripada para isteri baginda yang meriwayatkan sebegitu.

Tambahan pula hadis-hadis tentang solat Qabliyah Jumaat tidak ada yang sah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Hadis yang sering dipergunakan untuk menjustifikasikan solat Qabliyah Jumaat adalah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dan al-Thabraniy rahimahullah iaitu:

كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ اَلْجُمُعَة أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا لاَ يُفْصَلُ فِي شَيْءٍ مِنْهُنَّ.

Maksudnya:   
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selalu solat sebelum (Qabliyah) Jumaat empat rakaat dan sesudah (Ba’diyah) sebanyak empat rakaat, baginda tidak memisahkan di antara empat rakaat itu (dengan salam). - Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dalam Sunannya, Kitab Iqamah al-Shalah wa al-Sunnah Fiha, no: 1119 dan Imam al-Thabraniy dalam kitab al-Mu’jam Kabir, no: 12674.

Namun begitu perawi-perawi dalam sanad hadis ini telah dikritik hebat oleh ulamak hadis seperti Imam Ahmad, Imam al-Bushiriy, Imam al-Zayla’iy, Imam Ibnu Qayyim, Imam al-Nawawi, al-Hafidz Ibnu Hajar dan Imam al-Albani rahimahullah sehingga taraf hadis ini adalah berstatus dha’if jiddan (sangat lemah). Ulamak hadis telah bersepakat bahawa hadis dha’if Jiddan tidak boleh dijadikan sandaran untuk menetapkan hukum.

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah iaitu seorang tokoh ulamak hadis bermazhab Syafi’i juga telah berkata:

Ada juga hadis yang menyebutkan disunnahkan melaksanakan solat sunat sebelum (Qabliyah) Jumaat, tetapi sanad hadis ini dha’if (lemah). Di antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah oleh al-Bazzar:

كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ اَلْجُمُعَة رَكْعَتَيْنِ وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا.
Maksudnya:
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum (Qabliyah) solat Jumaat, dan empat rakaat setelah solat Jumaat.”

Hadis serupa daripada ‘Ali yang diriwayatkan oleh Atsram dan Thabraniy dalam kitab al-Ausath:

كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ اَلْجُمُعَة أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا.

Maksudnya:
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat sunat sebelum (Qabliyah) solat Jumaat empat rakaat dan setelahnya empat rakaat.”

Akan tetapi dalam silsilah sanad riwayat ini terdapat Muhammad bin Abdurrahman al-Sahmi, dan dia adalah orang yang dha’if (lemah) menurut Imam al-Bukhari dan lainnya. Atsram mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang lemah. Daripada Ibnu ‘Abbas juga disebutkan hadis yang serupa, akan tetapi dengan tambahan لاَ يُفْصَلُ فِي شَيْءٍ مِنْهُنَّ  “Baginda tidak memisahkan empat rakaat itu (dengan salam)”. Ibnu Majah meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang lemah. Imam al-Nawawi mengatakan dalam kitab al-Khulashah, bahawa hadis ini adalah hadis yang batil. Hadis ini juga disebutkan daripada Ibnu Mas’ud dan silsilah sanadnya lemah dan terputus. – Rujuk Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, Jilid  5, ms. 210-211 ketika mengsyarah no: 937.

Setelah mengetahui kelemahan hadis solat Qabliyah Jumaat ini, maka penulis ingin menganjurkan kepada para pembaca yang budiman untuk meninggalkannya dan menggantikannya pula dengan melaksanakan solat sunat Mutlak seperti yang telah diperjelaskan sebelum ini memandangkan solat sunat Mutlak tersebut memang sahih ada contohnya daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga merupakan mazhab sebenar Imam al-Syafi’i rahimahullah.


v  Solat Ba’diyah Jumaat.

Berkaitan dengan solat sunat Ba’diyah (sesudah) Jumaat maka telah sepakat di kalangan ulamak bahawa ianya disyari’atkan. Ianya boleh dilaksanakan dengan dua rakaat atau empat rakaat setelah kita menyelesaikan solat Jumaat dan yang afdal ianya dikerjakan di rumah. Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ الْجُمُعَةَ فَلْيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعًا.

Maksudnya:
Barangsiapa di antara kamu yang hendak bersolat, maka hendaklah bersolat empat rakaat sesudah (solat) Jumaat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 881.

      Daripada Ibnu ‘Umar (radhiallahu’ anh), dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بَعْدَ الْجُمُعَةِ رَكْعَتَيْنِ فِي بَيْتِهِ.

Maksudnya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat dua rakaat sesudah (solat) Jumaat dua rakaat di rumahnya. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i, dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1411.


v  Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Ba’diyah Jumaat

A) Tatacara Solat Rawatib Zuhur Dua Rakaat

Rakaat Pertama
1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Ba’diyah Jumaat
2)      Takbiratul Ihram
3)      Doa Iftitah
4)      Membaca surah al-Fatihah
5)      Membaca Surah al-Qur’an
6)      Rukuk
7)      Iktidal
8)      Sujud
9)      Duduk antara dua sujud
10)    Sujud kali kedua
11)    Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1)      Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)      Duduk untuk tahiyyat akhir
3)      Memberi salam kanan dan kiri

B) Tatacara Solat Ba’diyah Jumaat Empat Rakaat
Boleh dilaksanakan seperti solat Ba’diyah Jumaat dua rakaat di atas sebanyak dua kali ataupun dengan sekaligus mengerjakan empat rakaat dengan dua tahiyyat seperti di bawah.

Rakaat Pertama
1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Qabliyah / Ba’diyah Zuhur
2)      Takbiratul Ihram
3)      Doa Iftitah
4)      Membaca surah al-Fatihah
5)      Membaca Surah al-Qur’an
6)      Rukuk
7)      Iktidal
8)      Sujud
9)      Duduk antara dua sujud
10)    Sujud kali kedua
11)    Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1)      Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)      Duduk untuk tahiyyat awal
3)      Bangun untuk rakaat ketiga

Rakaat Ketiga
1)      Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)      Bangun untuk rakaat keempat

Rakaat Keempat
1)      Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)      Duduk untuk tahiyyat akhir

No comments:

Post a Comment