Saturday, September 10, 2011

Solat Rawatib Subuh

1)  SOLAT RAWATIB SUBUH

v  Dalil Disyariatkan

Solat Qabliyah Subuh ini merupakan salah satu dari solat sunat yang amat dititik beratkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam malah diriwayatkan bahawa baginda tidak pernah meninggalkannya. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha dia berkata:

صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِشَاءَ ثُمَّ صَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ

وَرَكْعَتَيْنِ جَالِسًا وَرَكْعَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءَيْنِ وَلَمْ يَكُنْ يَدَعْهُمَا أَبَدًا.
Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat Isyak kemudian solat lapan rakaat dan dua rakaat dengan duduk serta dua rakaat di antara dua seruan (yakni azan dan iqamah untuk solat subuh). Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan ke dua rakaat tersebut (yakni solat qabliyah subuh). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1159.


Malah diriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetap melaksanakannya walaupun ketika bermusafir. Daripada Abu Maryam, dia berkata:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَأَسْرَيْنَا لَيْلَةً

فَلَمَّا كَانَ فِي وَجْهِ الصُّبْحِ نَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَامَ وَنَامَ النَّاسُ

فَلَمْ يَسْتَيْقِظْ إِلاَّ بِالشَّمْسِ قَدْ طَلَعَتْ عَلَيْنَا

فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤَذِّنَ فَأَذَّنَ ثُمَّ صَلَّى الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ

ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ ثُمَّ حَدَّثَنَا بِمَا هُوَ كَائِنٌ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ.

Maksudnya:
Kami pernah bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah perjalanan. Lalu kami melakukan perjalanan pada malam hari. Ketika di ambang waktu Subuh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berhenti lalu tidur dan orang-orang lain pun ikut serta tidur. Dan kami tidak bangun kecuali ketika matahari telah terbit menyinari kami. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh muadzdzin mengumandangkan azan, maka dia pun mengumandangkannya. Selanjutnya, baginda mengerjakan solat dua rakaat sebelum solat Subuh. Setelah itu baginda menyuruh muadzdzin melaungkan iqamah, maka dia pun melakukan iqamah. Setelah itu baru baginda mengerjakan solat secara berjemaah. Kemudian baginda memberitahu kami mengenai apa yang akan terjadi sampai hari kiamat kelak. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Mawaaqiit, no: 617.

Menurut Ibnul Qayyim rahimahullah:

Di antara petunjuk yang dicontohkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sesebuah perjalanannya, iaitu baginda mencukupkan diri dengan melaksanakan solat yang fardu, dan baginda tidak diketahui melakukan solat sunat Rawatib sebelum dan sesudah solat fardu kecuali solat Witir dan solat sunat Rawatib Subuh kerana baginda tidak pernah meninggalkan kedua solat tersebut baik ketika mukim mahupun saat bermusafir. – Rujuk Zaad al-Ma’ad, jilid 1, ms. 456.

Hanya sahaja tidak ada sebarang riwayat yang menunjukkan solat ini hukumnya wajib. Oleh kerana itu ianya termasuk dalam kategori amalan sunat mu’akkadah.


v  Keutamaannya
Perlaksanaan solat Rawatib subuh ini lebih baik dari segala perkara yang terdapat di dunia ini. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا.
Maksudnya:
Dua rakaat sebelum Subuh itu lebih baik dari dunia dan isinya. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 725.


v  Tatacara Perlaksanaannya Serta Hukum-Hukum Berkaitan

q  Jumlah Rakaat Dan Waktu Mengerjakannya
Solat Qabliyah Subuh sebanyak dua rakaat ini didirikan setelah masuknya waktu solat Subuh iaitu di antara azan dan iqamah. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءِ وَالإِقَامَةِ مِنْ صَلاَةِ الصُّبْحِ.

Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan dua rakaat solat dengan ringan di antara azan dan iqamah solat Subuh. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 619.

q  Dikerjakan Secara Ringkas
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam meringankan perlaksanaannya iaitu dengan membaca surah-surah yang pendek secara ringkas dan pantas. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُخَفِّفُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ

حَتَّى إِنِّي لأَقُولُ هَلْ قَرَأَ بِأُمِّ الْكِتَابِ.

Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam meringankan dua rakaat sebelum solat Subuh sehingga aku tertanya apakah baginda hanya membaca Ummul Kitab. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1165.

q  Surah Yang Dibacakan
Di antara ayat-ayat yang dibacakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika solat sunat Qabliyah subuh adalah seperti berikut :-

a)      Surah al-Kaafiruun dan al-Ikhlas

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَد.ٌ

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa membaca di dalam (solat) dua rakaat sebelum Subuh: ‘Qul yaa ayyuhal kaafiruun’ dan ‘Qul huwallahu ahad’ – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 726.

b)      Al-Baqarah (2) : 136 dan Aali ‘Imraan (3) : 52

أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

كَانَ يَقْرَأُ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ فِي الأُولَى مِنْهُمَا قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا الآيَةَ

الَّتِي فِي الْبَقَرَةِ وَفِي الآخِرَةِ مِنْهُمَا آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ.

Maksudnya:
Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh, iaitu rakaat pertama membaca: Quuluu aaamannaa billaahi wamaa unzila ilaina… kemudian ayat yang terdapat di dalam surah al-Baqarah (ayat 136), dan pada rakaat kedua membaca: Aaamannaa billaahi wasyad bi annaa muslimuun. (Aali ‘Imraan : 52) – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 727.

c)      Al-Baqarah (2) : 136 dan Aali ‘Imraan (3) : 64

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَالَّتِي فِي آلِ عِمْرَانَ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ.

Maksudnya:
Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh: Quuluu aamannaa billaahi wamaa unzila ilaina… surah al-Baqarah (ayat 136), dan yang terdapat di dalam surah Aali ‘Imraan: Ta’aalau ilaa kalimatin sawaa’ bainanaa wa bainakum (Aali ‘Imraan : 64) – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 727.

Memandangkan kesemua hadis di atas adalah hadis yang sahih maka bolehlah kita mengamalkannya secara bergilir-gilir.

Ø  PERHATIAN
Di sepanjang perbahasan tentang solat-solat sunat dalam buku ini, penulis akan memperjelaskan surah-surah atau ayat-ayat yang pernah dibaca oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam solat-solat yang tertentu. Tentu sahaja sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ini adalah sebaik-baik ikutan bagi seluruh umat Islam. Namun sekiranya ada di kalangan kita yang tidak menghafal surah-surah tersebut maka hendaklah dia membaca apa sahaja surah lain yang mudah baginya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya:
… oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam solat). - al-Muzzammil (73) : 20

Dan Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ
Maksudnya:
Bacalah sesuatu yang mudah bagimu dari al-Qur’an. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 757.

q  Baring Setelah Selesai Mengerjakannya
Setelah mengerjakan solat sunat Qabliyah Subuh tersebut, adalah disunatkan untuk berbaring di atas lambung kanan sebelum mengerjakan solat Subuh. Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى يَمِينِهِ.
Maksudnya:
Jika salah seorang di antara kalian telah mengerjakan solat dua rakaat sebelum Subuh, hendaklah dia berbaring di atas lambung kanannya. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 385.

Namun begitu sekiranya terdapat urusan yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat untuk berbaring sesudah mengerjakan solat Qabliyah Subuh maka tidak mengapa baginya untuk menyelesaikan urusan tersebut kerana amalan tersebut hanyalah sunat.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

كَانَ إِذَا صَلَّى فَإِنْ كُنْتُ مُسْتَيْقِظَةً حَدَّثَنِي وَإِلاَّ اضْطَجَعَ حَتَّى يُؤْذَنَ بِالصَّلاَةِ.

Maksudnya:
Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha bahawasanya jika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengerjakan solat sunat Subuh, sedang aku dalam keadaan terbangun, baginda akan berbicara denganku. Jika tidak demikian baginda akan berbaring sehingga azan (dikumandangkan iqamah) untuk mendirikan solat. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Tahajjud, no: 1161.

q  Cara Mengqadha Solat Qabliyah Subuh
Bagi mereka yang tidak sempat mengerjakan solat Qabliyah Subuh maka dia boleh mengqadhanya dengan mengerjakannya setelah matahari terbit. Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh. dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ.
Maksudnya:
Barangsiapa tidak sempat mengerjakan solat rawatib dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia mengerjakannya setelah matahari terbit. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 388.

Dibenarkan juga untuk mengqadhakan solat Qabliyah Subuh itu sebaik sahaja selesai solat fardu Subuh.

Daripada Qais, dia berkata:

رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ صَلاَةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَلاَةُ الصُّبْحِ رَكْعَتَان.ِ

فَقَالَ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا فَصَلَّيْتُهُمَا الآن.

َ فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melihat seseorang sedang mengerjakan solat sunat setelah mengerjakan solat Subuh. Baginda lalu bersabda: Solat subuh itu hanya dua rakaat.
Lelaki tersebut lalu berkata: Sesungguhnya tadi aku belum mengerjakan solat sunat dua rakaat sebelum (Qabliyah) solat Subuh, oleh itu aku mengerjakannya sekarang.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pun mendiamkannya (menandakan baginda bersetuju) - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1076.

Ø  PERHATIAN
Menerusi buku ini para pembaca akan melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menqadhakan beberapa jenis solat sunat yang baginda tidak sempat melaksanakannya. Apa yang harus para pembaca fahami adalah solat-solat tersebut hanya boleh diqadhakan sekiranya wujud keuzuran yang tidak boleh dielakkan seperti terlupa, tertidur, pengsan, hilang akal dan sibuk dengan hal yang lebih penting. Sekiranya seseorang itu secara sengaja meninggalkan solat sama ada fardu mahupun sunat tanpa alasan yang kukuh maka tidak dibenarkan baginya untuk mengqadha. Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin rahimahullah berkata:

"Pendapat paling kuat menurutku adalah sebagaimana yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah rahimahullah bahawa sesiapa yang sengaja meninggalkan solat sehingga habis waktunya, mengqadanya tidaklah bermanfaat. Ini kerana, sesuatu ibadah tertakluk dengan waktu tertentu harus dikerjakan tepat pada waktu yang ditentukan. Maka sebagaimana ibadah itu tidak sah dikerjakan sebelum waktunya, ia juga tidak sah dikerjakan setelah habis waktunya. Kerana batasan waktu yang telah ditentukan oleh Allah hendaklah diperhatikan. – Rujuk buku Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Arkanil Islam, (edisi terjemahan dengan tajuk Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah,  Pustaka Arafah, Solo, 2002), ms. 322.

q  Ringkasan tatacara mengerjakan Solat Rawatib Subuh

Rakaat Pertama
1. Berniat di dalam hati untuk mengerjakan Solat Qabliyah Subuh
2. Takbiratul Ihram
3. Doa Iftitah
4. Membaca surah al-Fatihah
5. Membaca surah al-Qur’an
6. Rukuk
7. Iktidal
8. Sujud
9. Duduk antara dua sujud
10.  Sujud kali kedua
11.  Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1. Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2. Duduk untuk tahiyyat akhir
3. Memberi salam ke kanan dan ke kiri

No comments:

Post a Comment