Saturday, September 10, 2011

Solat Rawatib Isyak

 4)      SOLAT RAWATIB ISYAK

v  Dalil Disyari’atkan

Solat Ba’diyah Isyak ini merupakan sebahagian dari solat Rawatib yang mu’akkad. Daripada Ibnu ‘Umar, dia berkata:

حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا

وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.

Maksudnya:
Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1180.



v  Keutamaannya

Bagi mereka yang mengerjakan solat Ba’diyah Isyak ini, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menyediakan baginya sebuah rumah di syurga. Sila rujuk hadis daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha yang telah penulis paparkan pada awal perbahasan tentang solat rawatib.


v  Tatacara Perlaksanaannya Serta Hukum-Hukum Berkaitan

q  Jumlah Rakaat dan Waktu Perlaksanaannya
Ianya didirikan setelah mengerjakan Solat Isyak sebanyak dua rakaat dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat ini di rumah.

فَقَالَتْ كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ

وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ الْمَغْرِبَ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَيُصَلِّي بِالنَّاسِ الْعِشَاءَ

وَيَدْخُلُ بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ...

Maksudnya:
Lalu dia (‘Aisyah radhiallahu’ anh) berkata adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat di rumahku sebelum Zuhur empat rakaat, kemudian baginda keluar lalu bersolat (Zuhur) bersama orang ramai, kemudian baginda masuk ke rumahku dan bersolat dua rakaat. Baginda bersolat Maghrib dengan orang ramai, kemudian baginda masuk ke dalam rumahku lalu bersolat dua rakaat. Baginda bersolat Isyak dengan orang ramai, kemudian baginda masuk ke dalam rumahku lalu bersolat dua rakaat.- Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 730.

q  Ringkasan tatacara mengerjakan Solat Rawatib Ba’diyah Isyak

Rakaat Pertama
1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Ba’diyah Isyak
2)      Takbiratul Ihram
3)      Doa Iftitah
4)      Membaca surah al-Fatihah
5)      Membaca Surah al-Qur’an
6)      Rukuk
7)      Iktidal
8)      Sujud
9)      Duduk antara dua sujud
10)    Sujud kali kedua
11)    Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1)      Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)      Duduk untuk tahiyyat akhir

No comments:

Post a Comment